- Iklan -
Berita

Kemungkinan tipis satelit tersasar orbit jatuh ke bumi, kata agensi angkasa

Agensi Angkasa Malaysia mengatakan Measat-3 berada pada ketinggian yang sangat tinggi dari orbit luar angkasa tertentu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar: Measat
Gambar: Measat

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) berkata kemungkinan satelit Measat-3 jatuh ke bumi adalah tipis susulan langkah yang diambil Julai lalu untuk menurunkannya sehingga menimbulkan spekulasi ia mungkin jatuh dari luar angkasa dan terbakar di lapisan atmosfera bumi.

Dalam satu kenyataan kepada MalaysiaNow, Ketua Pengarah MYSA Azlikamil Napiah berkata satelit Measat-3 masih berada di “altitud zon orbit yang sangat tinggi” walaupun usaha menurunkannya dijalankan selepas mengalami masalah tidak berfungsi pada 21 Jun.

“Berdasarkan posisi M3 dan maklumat yang ada, kami yakin ia akan jadi kes terpencil jika M3 jatuh ke bumi, kecuali posisinya sengaja dihalakan untuk keluar atau didorong ke bawah dari zon orbitnya (ketika ini) di altitud tinggi ke altitud yang lebih rendah,” katanya.

Measat-3 dilancarkan pada 11 Disember 2006 dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan.

Satelit tersebut dikawal Measat Satellite Systems Sdn Bhd pada Mac 2003.

Laporan sebelum ini mengatakan ia mula dikawal dari bumi pada 24 Jun lalu selepas kejadian tidak diketahui tiga hari sebelumnya menyebabkan ia dilihat “tidak dapat berfungsi”.

“Ujian dan pemulihan lanjutan mendapati satelit tersebut tidak lagi dapat memasuki semula sistem perkhidmatan,” lapor Space.com memetik Measat dalam sebuah kemas kini daripada syarikat tersebut.

Azlikamil mengatakan satelit Measat-3 berada pada ketinggian orbit 35,786km – satu ukuran altitud yang sangat tinggi – dan kekal berada di orbit luar angkasa.

“Kedudukan M3 sangat jauh dari permukaan bumi berbanding satelit bergerak (non-geostastionary) yang lain, terutama satelit yang beroperasi dalam ketinggian orbit rendah sejauh 500km hingga 2,000km dan dekat dengan zon atmosfera bumi,” katanya.

Beliau menambah satelit Measat-3d akan dilancarkan pada awal 2022 untuk menggantikan Measat-3 dan perkhidmatannya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.