- Iklan -
Berita

Lebih banyak bantuan rakyat selepas BKC, kata PM

Ismail berharap pembayaran BKC lancar dan tiada perkara tidak diingini berlaku yang boleh menyebabkan kelewatan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam telesidang bersama Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dan kakitangan Bank Simpanan Nasional. Gambar: Facebook
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam telesidang bersama Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dan kakitangan Bank Simpanan Nasional. Gambar: Facebook

Ketika pembayaran Bantuan Khas Covid-19 (BKC) mula disalurkan hari ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata lebih banyak bantuan akan disalurkan kerajaan kepada rakyat bermula bulan depan.

Dalam sidang video bersama warga Bank Simpanan Nasional (BSN) dari kediamannya di Petaling Jaya khusus bagi meninjau proses pembayaran BKC yang bermula hari ini, Ismail berkata BKC adalah antara bantuan bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

“Harap semua proses pembayaran BKC yang dirancang kementerian kewangan berjalan lancar. Semoga tiada perkara tidak diingini berlaku yang boleh sebabkan kelewatan dan sebagainya,” katanya.

Ismail yang masih menjalani kuarantin kendiri sejak 30 Ogos lepas setelah disahkan kontak rapat pesakit Covid-19 turut menasihatkan warga BSN supaya memastikan penerima BKC yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.

Turut serta dalam sidang video tersebut ialah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz yang berada di BSN Putrajaya dan Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah yang berada di BSN di Bera, Pahang.

“Semoga apa yang diberikan kerajaan hari ini, walaupun mungkin tidak begitu besar tetapi sekurang-kurangnya dapat bantu mengurangkan perbelanjaan ketika ini,” kata Ismail yang turut merujuk makluman Zafrul bahawa banyak lagi bantuan akan diberikan kepada rakyat.

Pada Rabu, Ismail mengumumkan BKC akan dibayar secara berperingkat dengan bayaran fasa satu dikreditkan mulai 6 September dan dijangka selesai pada 10 September, dengan dana berjumlah RM3.1 bilion telah disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan untuk pembayaran BKC.

BKC layak diterima golongan miskin tegar dan B40 dengan jumlah pendapatan RM5,000 dan ke bawah untuk isi rumah dan warga emas, serta bujang dengan pendapatan RM2,500 dan ke bawah, berdasarkan kriteria kelayakan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR 2021).

Golongan M40 yang melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah pendapatan RM5,001 hingga RM9,000 untuk isi rumah dan RM2,501 hingga RM5,000 untuk bujang juga layak menerima BKC.

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.