- Iklan -
Berita

Lelaki hidap PTSD bunuh 4 orang termasuk bayi dalam tembakan rambang di Florida

Suspek juga turut mencederakan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Keadaan tempat kejadian di sebuah rumah akibat kejadian berbalas tembakan antara polis Polk County dan suspek tembakan rambang di Florida. Gambar: AP
Keadaan tempat kejadian di sebuah rumah akibat kejadian berbalas tembakan antara polis Polk County dan suspek tembakan rambang di Florida. Gambar: AP

Seorang bekas tentera menembak dan membunuh empat orang, termasuk seorang wanita dan bayi lelaki berusia tiga bulan dalam pelukannya sebelum menyerah kepada polis di Florida, Amerika Syarikat (AS) semalam, kata pihak berkuasa.

Penembak yang dikenali sebagai Bryan Riley turut mencederakan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang terpaksa dibedah akibat kecederaan dari tujuh tembakan, kata Ketua Polis Polk County Grady Judd dalam sebuah sidang media.

Riley, yang tidak memiliki sebarang hubungan dengan mangsa berbalas tembakan dengan polis sebelum menyerah.

Dia juga berusaha merampas pistol polis ketika dirawat di hospital akibat tertembak dirinya sendiri, kata Judd.

Riley adalah veteran perang Amerika Syarikat di Iraq dan Afghanistan, kini dia bekerja sebagai pengawal peribadi dan pengawal keselamatan.

Teman wanitanya turut memberitahu penyiasat bahawa Riley menghidapi gangguan tekanan pasca-trauma (PTSD) dan kemurungan, kata Judd.

Sejak seminggu lalu kesihatan mentalnya bertambah buruk dan memberitahu teman wanitanya bahawa dia bercakap dengan Tuhan, kata Judd.

“Dia ada beritahu kepada penyiasat kami, ‘Mereka rayu minta dilepaskan namun saya tetap bunuh mereka’,” kata Judd.

Riley juga memberitahu timbalan ketua polis Polk County bahawa dia terpengaruh dengan metamfetamin, kata Judd.

Menurut Judd, Riley berlegar di sebuah rumah di mana kejadian itu berlaku pada Sabtu malam.

Lelaki itu kembali ke rumah tersebut pada pagi Ahad, membunuh seorang lelaki berusia 40 tahun, ibu berusia 33 tahun dan bayinya, kata Judd.

Dia juga turut membunuh ibu mangsa berusia 62 tahun itu, kata Judd.

“Bukan sekadar itu, dia juga turut menembak dan membunuh anjing keluarga tersebut,” kata Judd.

Pegawai polis yang tiba di tempat kejadian menemui suspek yang tidak bersenjata di luar dengan memakai baju samaran dan baju pelindung peluru. Riley kemudian masuk semula ke dalam rumah dan “kami mendengar satu lagi tembakan, dan seorang wanita menjerit, selain tangisan bayi,” kata Judd.

Kejadian berbalas tembakan berlaku sebelum suspek keluar tanpa senjata dan dia ditahan serta-merta.

“Alangkah baiknya jika dia keluar dengan pistol… Kami pasti akan dapat menembaknya. Tetapi dia tidak buat begitu kerana dia pengecut,” kata Judd.

“Jika seseorang pilih untuk menyerah diri, kami menahan mereka dengan damai.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.