- Iklan -
Berita

PM tak boleh terima derma walau apa pun alasan, Dr M bidas Najib secara tersirat

Dan menerima wang dari negara asing akan memberi peluang negara luar untuk campur tangan politik dalam negeri, kata bekas perdana menteri itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata sebarang penerimaan derma dari negara luar kepada perdana menteri adalah salah, memberikan ulasan yang dilihat secara tersirat menyasarkan bekas perdana menteri, Najib Razak.

“Ahli politik dalam negeri tidak boleh terima hadiah atau derma dari negara asing kerana ini memberi peluang kepada negara asing untuk campurtangan dalam politik dalam negeri,” kata Mahathir.

Ulasan beliau tampil hari ini selepas lebih dua bulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengembalikan RM114 juta yang sebelum ini disita dari Najib, susulan keputusan mahkamah pada Mei lalu.

Mahkamah Tinggi menetapkan pihak pendakwaan gagal membuktikan wang tersebut diperolehi daripada aktiviti-aktiviti haram atau berasal dari dana 1MDB.

Pihak pendakwaan mendakwa jumlah wang tunai yang disita dari beberapa premis hartanah yang berkait dengan Najib selepas kejatuhan pentadbirannya pada 2018 adalah sebahagian daripada RM2.9 bilion dana yang diterimanya melalui 1MDB antara 2011 dan 2013.

Najib mendakwa wang yang dipindahkan ke dalam akaun peribadinya adalah dari kerajaan Arab Saudi dan sejumlah RM114 juta disimpan beliau merupakan wang Umno.

Akhir bulan lalu, Mahathir berkata keputusan mahkamah tersebut adalah menjadi berita baik kepada mereka yang didakwa mencuri dana.

“Pada masa akan datang, jika anda curi duit dan anda boleh buktikan duit itu bukan daripada sesiapa, maka ia adalah milik anda, dan seseorang itu sudah memberikan kepada anda bilion dolar, maka jika mahkamah kata tidak ada bukti anda mecuri, jadi anda boleh simpan duit itu,” katanya.

Menurut Mahathir, mana-mana perdana menteri yang menjadi kaya selepas memegang jawatan berhak untuk didakwa oleh rakyat.

“Tetapi apabila perdana menteri selepas menjadi PM menjadi jutawan, rakyat berhak mendakwa dia dapat wang itu secara haram.”

Beliau menambah seorang perdana mentei tidak boleh menerima derma walaupun pemberinya ikhlas.

“Oleh sebab itu segala kekayaan perdana menteri yang didapati selepas ia menjadi PM hendaklah dianggap sebagai haram dan boleh dirampas oleh pihak yang berkuasa.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.