- Iklan -
Berita

Kabinet Taliban akan berfungsi tidak lama lagi, kata Akhunzada

Pemimpin Tertinggi Taliban Hibatullah Akhunzada berkata kerajaan baru akan bekerja keras untuk patuh kepada peraturan Islam dan undang-undang Syariah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kedai jualan senjata api dan peluru di Kandahar, Afghanistan. Gambar: AFP
Kedai jualan senjata api dan peluru di Kandahar, Afghanistan. Gambar: AFP

Pemimpin Tertinggi Taliban Hibatullah Akhundzada pada Selasa berkata kerajaan sementara Taliban yang baru dibentuk bakal berfungsi tidak lama lagi, lapor Xinhua.

“Memandangkan kerajaan sementara dan Kabinet telah diumumkan pihak berkuasa Emiriah Islam Afghanistan, ia akan mulai berfungsi secepat mungkin untuk mengawal dan menjalankan urusan negara.

“Saya meyakinkan semua rakyat bahawa kami akan bekerja keras untuk mematuhi peraturan Islam dan undang-undang Syariah,” kata Akhundzada dalam satu kenyataan.

Ini adalah kenyataan pertama dikeluarkan pemimpin tertinggi Taliban sejak kumpulan itu mengambil alih Kabul pada pertengahan Ogos.

“Kami mahukan kedamaian dan kemakmuran di Afghanistan dan negara yang tidak bergantung kepada orang lain. Kami akan berusaha untuk menghapuskan semua penyebab peperangan dan perselisihan di negara ini dan rakyat hidup aman serta damai,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan pada Selasa ketika jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid mengumumkan barisan pemerintahan baharu, menyaksikan Mullah Hassan Akhund dilantik sebagai pemangku perdana menteri.