- Iklan -
Berita

Pelaksanaan Undi 18 tidak harus dipertikai lagi, kata penganalisis

Hisommudin Bakar berkata pertikaian tersebut tidak lagi relevan kerana rang undang-undang tersebut sudah diluluskan di Parlimen.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Penganalisis Hisommudin Bakar berkata persoalan utama sekarang ialah bagaimana kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ingin melaksanakan akta tersebut dan membuat persiapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.
Penganalisis Hisommudin Bakar berkata persoalan utama sekarang ialah bagaimana kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ingin melaksanakan akta tersebut dan membuat persiapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Tidak seharusnya ada pertikaian lagi berhubung had umur mengundi yang diturunkan dari 21 kepada 18 tahun memandangkan rang undang-undang tersebut sudah diluluskan secara sebulat suara pada 2019, kata penganalisis ketika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang bersedia untuk mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi di Sarawak minggu lalu.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, isu tidak bersetuju dengan rang undang-undang tersebut sudah tidak lagi relevan kerana sudah diluluskan Dewan Rakyat.

“Persoalan utama sekarang ialah bagaimana kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ingin melaksanakan akta tersebut dan membuat persiapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) nanti,” katanya kepada MalaysiaNow.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata setakat ini, belum ada arahan untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengarahkan Putrajaya untuk melaksanakan Undi 18 sebelum 31 Disember.

Junaidi berkata, kerajaan akan mematuhi perintah mahkamah untuk menurunkan usia minimum pengundi dari 21 ke 18 tahun sebelum tarikh ditetapkan.

Pada 3 September, Mahkamah Tinggi Kuching mengarahkan kerajaan untuk melaksanakan peraturan had undi 18 tahun, membolehkan sekitar 135,000 golongan muda Sarawak berusia antara 18 dan 20 tahun untuk mengundi pada pilihan raya negeri akan datang.

Keputusan tersebut merupakan satu kemenangan bagi lima belia yang memfailkan semakan semula kehakiman bagi menggesa Putrajaya untuk melaksanakan undang-undang yang menurunkan had umur mengundi dari 21 kepada 18 tahun selepas ia diluluskan secara sebulat suara di Parlimen dua tahun lalu.

Menurut Hisommudin isu kematangan politik juga yang sering ditimbulkan oleh golongan penentang dasar ini sebenarnya sangat subjektif dan bergantung kepada tahap pendedahan politik oleh setiap individu.

“Pastinya pendidikan politik menjadi asas utama golongan ini untuk mempunyai daya berfikir yang waras sebelum mereka tentukan nasib kerajaan mana akan perintah negara.

“Mata pelajaran di sekolah juga terdedah kepada politik cuma ia dalam konteks berbeza seperti sejarah dan pengajian am. Persoalannya adalah bagaimana mereka lihat perkara ini secara realiti,” katanya.

Golongan muda tak minat politik perkara biasa

Pada Julai 2019, Malaysia melakar sejarah apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan had umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Hisommudin berkata, isu golongan muda dilihat tidak begitu minat dengan politik merupakan fenomena biasa, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara maju.

Menurutnya, golongan ini melihat politik sebagai sesuatu yang negatif dan memandang rendah terhadap kerjaya dalam politik.

“Ilham Centre melakukan kajian spesifik tentang anak muda pada 2015 dan mendapati golongan ini sukar untuk terlibat dalam parti politik.

“Ini rungutan yang berlaku dalam kalangan penggerak parti politik, tidak kira parti kerajaan atau pembangkang. Mereka hadapi trend sama iaitu sukar mendapatkan keahlian anak muda,” katanya.

Katanya, penjernihan perlu dibuktikan sama ada parti kerajaan atau pembangkang bagi membersihkan minda dan persepsi anak muda dalam usaha menarik minat mereka terhadap arena politik negara.

Selain itu, katanya, golongan muda lebih gemar bergerak secara “indie” atau bebas dan tidak mahu terikat atau dibayangi oleh cengkaman parti politik bagi penentuan sikap mereka.

“Jika golongan ini ingin bertanding di PRU juga tidak ada masalah, terutama jika mereka mempunyai kelayakan serta mendapat sokongan rakyat setempat.

“Itulah kelebihan sistem demokrasi negara,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.