- Iklan -
Berita

Kerajaan akan bentang undang-undang anti-lompat parti ketika PM ulangi tawaran Muhyiddin

Bagaimanapun peruntukan dana sama rata kepada semua ahli Parlimen tidak dimasukkan dalam senarai tawaran Ismail.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen Malaysia.
Bangunan Parlimen Malaysia.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberikan cadangan beberapa transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan yang mirip dengan apa yang ditawarkan Muhyiddin Yassin termasuk membentangkan undang-undang anti-lompat parti dan pelaksaan Undi 18 dalam masa terdekat.

Antara lain termasuk memastikan keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli Parlimen kerajaan dan ahli Parlimen pembangkang, pelaksanaan Undi 18, rundingan bersama ahli Parlimen dan dipersetujui secara bersama sebelum pembentangan rang undang-undang dan ketua pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri serta menghadkan 10 tahun penggal jawatan perdana menteri.

“Tawaran ini juga bertujuan mewujudkan lanskap politik baru dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.

“Pada masa yang sama, kerajaan komited untuk memperkenalkan lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa,” kata Ismail.

Enam daripada tawaran Ismail tersebut adalah mirip dengan senarai yang pernah diutarakan Muhyiddin bulan lalu ketika beliau cuba mendapatkan sokongan ahli Parlimen pembangkan bagi mengelak kerajaan jatuh susulan penarikan semula sokongan ahli Parlimen Umno yang bersekutu dengan Najib Razak.

Bagaimanapun, tawaran Muhyiddin untuk memperuntukkan dana sama rata kepada semua ahli Parlimen tidak menjadi sebahagian dalam tujuh cadangan yang disenaraikan Ismail hari ini.

Pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) telah menolak tawaran Muhyiddin tersebut, menyifatkan ia sebagai rasuah dan mengatakan mereka boleh memberikan tawaran yang lebih baik.

Ia juga turut ditolak oleh Umno dan Pejuang.

Tony Pua dari DAP adalah antara segelintir daripada pemimpin pembangkang yang menggesa rakan-rakannya dari PH untuk menerima tawaran Muhyiddin, mengatakan mereka boleh mencapai matlamat perjuangan mereka selain turut dapat menyekat pemimpin Umno kembali menguasai tampuk pentadbiran kerajaan.

“Mari kita teliti potensi (tawaran) itu demi manfaat buat rakyat – kita dapat akhiri kemelut politik dan kebuntuan yang kita hadapi; kita dapat sekat kleptokrat daripada kembali berkuasa; kita dapat elak pilihan raya umum berlaku ketika wabak menular; kita boleh buat kerajaan PN laksanakan reform yang tidak ternilai; kita juga dapat suara dalam proses kelulusan semua rang undang-undang; dan akhirnya nanti, kita boleh keluarkan PN daripada kerajaan dalam PRU yang akan diadakan sekitar 10 bulan lagi,”

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.