- Iklan -
Berita

Nazri dipertimbang sebagai duta luar negara?

Langkah melantik Nazri akan menyanggahi dasar diumumkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan yang menetapkan hanya diplomat sahaja yang akan dilantik ke jawatan tersebut.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz.
Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz.

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz sedang dipertimbangkan untuk menyandang jawatan duta, MalaysiaNow difahamkan oleh beberapa sumber diplomatik negara.

Turut difahmakan Nazri yang sebelum ini pernah berkhidmat dalam kerajaan sebagai menteri pelancongan berkemungkinan akan dihantar untuk berkhidmat di ibu negara di Eropah.

Namun ketika dihubungi, Nazri menafikan dirinya dimaklumkan mengenai pelantikan beliau tersebut.

“Saya tak tahu, saya tak tahu, saya tak dapat apa-apa maklumat, saya tak tahu.

“Dari mana anda dengar perkara ini? Saya tak tahu,” katanya.

Sumber memberitahu MalaysiaNow Kabinet akan membincangkan cadangan melantik Nazri sebagai duta dalam mesyuarat akan datang.

Percubaan untuk mengesahkan perkara tersebut dari Wisma Putra juga tidak berjaya.

Nazri yang merupakan antara ahli Parlimen Umno yang secara terbuka menentang presiden partinya untuk menggulingkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, baru-baru ini membayangkan beliau tidak lagi berminat dengan jawatan politik.

MalaysiaNow tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut, namun sebarang langkah untuk melantik Nazri yang dilatih sebagai seorang peguam ke jawatan tersebut akan bercanggah dengan dasar yang diumumkan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menetapkan hanya diplomat sahaja yang akan dilantik ke jawatan tersebut.

Kerajaan PH sebelum ini merancang untuk menggantikan duta lantikan politik kepada diplomat-diplomat dalam agensi kerajaan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.