Pulau percutian Langkawi bakal menyambut ketibaaan ribuan pelancong ketika rakyat Malaysia yang teruja untuk bercuti daripada sekatan-sekatan pandemik mula merancang menikmati keindahan pantai, laut dan sinaran matahari selepas beberapa bulan terpaksa berdepan “lockdown”.
MalaysiaNow difahamkan hotel dan resort menerima ribuan tempahan susulan pengumuman kerajaan Langkawi akan dibuka semula untuk pelancong sebagai sebahagian program rintis gelembung pelancongan bagi menghidupkan semula industri pelancongan.
Langkawi Tourism Association (LTA) berkata, hotel dan resort yang berdaftar di bawahnya sudah menerima 6,000 tempahan, menganggarkan pendapatan hampir RM24 juta bagi tiga hari pembukaannya.
“24,000 pengunjung akan tiba dengan jangkaan RM24 juta diperoleh dalam masa tiga hari selepas 16 September,” kata Ketua Pengarah Eksekutif LTA Zainudin Kadir, merujuk tarikh yang ditetapkan Putrajaya bagi pembukaan semula pulau tersebut.
Langkawi ditutup daripada kemasukan pelancong pada awal tahun ini selepas munculnya kluster-kluster berkaitan pelancongan.
Menurut Zainuddin, pulau tersebut dianggarkan mengalami kerugian lebih RM1 billion sehingga ke hari ini.
Bagaimanapun, pelancong yang ingin ke Langkawi diberi amaran agar tidak menipu jumlah dos vaksin mereka, memandangkan hanya individu yang lengkap dua dos dibenarkan untuk bercuti ke Pulau Lagenda itu, kata Zainuddin.
Beliau berkata pemantauan ketat dilaksanakan di pintu masuk jeti dan lapangan terbang bagi memastikan hanya mereka yang lengkap dua dos dibenarkan masuk ke Langkawi.
“Pelancong mesti lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan mereka mesti melepasi tarikh 14 hari selepas dos kedua. Seandainya didapati mereka melanggar peraturan ini, kita tidak akan benarkan masuk ke Langkawi dan mereka akan disuruh patah balik,” katanya.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan minggu lalu Langkawi dipilih sebagai projek rintis bagi program gelembung pelancongan bermula 16 September ini.
Menurut Zainuddin, mereka yang ingin melancong sudah boleh membuat tempahan hotel dan keemasukan ke pulau itu menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Jeti Kuala Perlis.
Katanya, Jeti Kuala Kedah masih ditutup akibat perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sehingga 19 September dan dijangka akan ditutup lebih lama.
Zainudin berkata, tiada kompromi berhubung perkara itu meskipun pelancong cuba merayu untuk masuk.
“Kita akan mengadakan ujian saringan serta pemeriksaan suhu menerusi pengimbas infrared.
“Mana-mana individu yang mempunyai suhu badan tinggi juga tidak akan dibenarkan masuk,” katanya.
Menurut Zainuddin, badan itu turut menyediakan skuad pemantau yang akan ditugaskan di pintu-pintu masuk selain pusat-pusat peranginan bersama agensi-agensi kerajaan bagi memastikan SOP dipatuhi, terutamanya penjarakan fizikal.
Meskipun tiada had jumlah pelancong ditetapkan, LTA menjangkakan penambahan penerbangan ke Langkawi, namun had pelancong di pusat-pusat peranginan ditetapkan 50% daripada kapasiti atau keluasan kawasan tarikan pada satu-satu masa.
Katanya, kanak-kanak berusia 18 tahun dan ke bawah dibenarkan bercuti bersama ibu bapa mereka meskipun tanpa suntikan.
Operator pusat peranginan dan penyedia perkhidmatan juga telah menghadiri kursus bagi menyediakan mereka menerima semula kehadiran pelancong.
Pada Rabu, Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) memperkenalkan sijil pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang disertai enam segmen perniagaan, antaranya hotel dan resort; makanan, pusat penginapan, peruncitan, agensi pelancongan dan tempat tarikan pelancong.