Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa memberi jaminan bahawa kementeriannya akan menjadi suara kerajaan dan merasa denyutan nadi rakyat di negara ini.
Bagi tujuan itu, katanya beliau akan merubah kementerian komunikasi dan multimedia (KKMM) menjadi sebuah kementerian yang bukan sahaja membawa informasi yang tepat dan jitu kepada rakyat tetapi juga kementerian yang responsif dan proaktif kepada keperluan rakyat.
Katanya dengan semua saluran informasi dan multimedia yang ada hari ini, tidak akan ada sesiapa yang tertinggal dan diketepikan.
“KKMM bukan sahaja akan menjadi suara kerajaan tetapi merasakan nadi setiap rakyat, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang akan menghubungkan Putrajaya kepada rakyat di setiap pelosok negara, meskipun di kampung yang paling terpencil.
“Saya juga mahu KKMM menjadi kementerian yang proaktif bersama rakyat dan memastikan setiap rakyat tidak kira di mana juga mereka berada mempunyai akses dan ketersambungan yang berkualiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Annuar berkata sejak mengangkat sumpah menerajui KKMM pada 30 Ogos lepas, beliau terus mengambil pendekatan mengenali peranan setiap jabatan dan agensi di bawah kementerian itu, selaras dengan objektifnya untuk mengangkat KKMM ke persada baharu dan dinamik, seiring dengan masa dan keperluan rakyat.
Ini termasuk melawat dan mendengar taklimat daripada Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) serta agensi iaitu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MyNIC, Cybersecurity Malaysia dan MyCreative Ventures.
“Selama dua minggu lalu, setiap hari saya telah melawat, berjumpa, mendengar taklimat dan mengadakan sesi libat urus dengan pengurusan tertinggi dan kakitangan semua jabatan dan agensi di bawah KKMM, dari unit yang paling kecil sehinggalah yang paling besar seperti RTM dan JaPen,” katanya.
Dalam pada itu, Annuar berkata beliau akan memastikan kerajaan hari ini mengamalkan konsep kebebasan media yang bertanggungjawab dan adalah penting untuk KKMM “reinvent”, “rejuvenate” dan menjadi lebih kreatif dalam menjadi saluran yang berkredibiliti dan berfungsi dengan efisien.
“Saya berharap semua kakitangan KKMM bersedia untuk bekerja dan menjadi suara kerajaan yang responsif, seiring dengan aspirasi rakyat untuk bersama membina Keluarga Malaysia,” katanya.