Syor persefahaman antara kerajaan dan pembangkang berkaitan tranformasi pentadbiran masih di peringkat perbincangan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.
Sehubungan itu, katanya satu kenyataan bersama akan dikeluarkan petang ini selepas memuktamadkan perkara berkaitan persefahaman tersebut.
“Kita beri keyakinan kita akan keluarkan satu kenyataan bersama setelah kita dapat muktamadkan perkara yang jadi landasan bersama. Insya-Allah petang ini kita harap jawatankuasa ini dapat buat kenyataan bersama kepada media dan rakyat tentang perkara yang dicapai.
“Apa yang sedang kita usahakan ini adalah satu inisiatif di pihak kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk memastikan kerajaan hari ini merupakan kerajaan yang punyai iltizam politik untuk laksanakan agenda transformasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Penyerahan Bantuan Makanan Kepada Golongan Memerlukan dan Petugas Barisan Hadapan @ Rumah Prihatin di Kuala Lumpur, hari ini.
Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memaklumkan gabungan itu cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman dengan kerajaan pimpinan perdana menteri susulan pertemuan yang diadakan antara pimpinan tertingginya dengan Ismail pada 25 Ogos lalu.
Terdahulu Annuar mengesahkan perdana menteri melantik satu jawatankuasa terdiri daripada lima anggota jemaah menteri termasuk beliau serta enam lagi individu diwakili PH.
“Jawatankuasa ini bertujuan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan parti pembangkang berhubung ruang atau bidang kebersamaan serta muafakat di bawah konsep kerajaan inklusif yang ingin dilaksanakan oleh perdana menteri.
“Saya juga sahkan sememangnya jawatankuasa ini juga sedang melaksanakan amanah dari kedua-dua pucuk pimpinan untuk muktamadkan terma terperinci bagi membolehkan memorandum persefahaman ini dapat segera ditangani bersama,” katanya.