- Iklan -
Berita

PM dan pemimpin PH akan tandatangani memorandum untuk kestabilan politik

Kedua-dua pihak berikrar untuk memfokuskan 'lanskap politik baru' ketika negara terus berperang dengan Covid-19.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Wakil kerajaan dan pembangkang dalam satu pertemuan hari ini sebelum memorandum persefahaman ditandatangani esok. Gambar: KKMM
Wakil kerajaan dan pembangkang dalam satu pertemuan hari ini sebelum memorandum persefahaman ditandatangani esok. Gambar: KKMM

Kerajaan dan gabungan pembangkang utama Pakatan Harapan (PH) mencapai persetujuan yang akan memberikan kestabilan politik ketika negara terus berperang dengan Covid-19, dengan memorandum bersejarah akan ditandatangani kedua-dua pihak esok.

Wakil kedua-dua pihak dalam satu kenyataan hari ini berkata Memorandum Persefahaman untuk Transformasi dan Kestabilan Politik akan ditandatangani oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersama-sama pemimpin tertinggi PH yang kini termasuk parti Sabah, Upko di Parlimen esok.

“Dengan persefahaman ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan oleh kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baru melalui inisiatif-inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan, khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen,” kata sebuah kenyataan yang ditandatangani 11 individu mewakili kerajaan dan gabungan pembangkang.

Mereka berkata melalui beberapa pusingan rundingan antara Putrajaya dan PH, mereka bersetuju untuk melaksanakan pendekatan dwi partisan dalam usaha Malaysia memulihkan ekonomi negara daripada impak pandemik.

Pada Jumaat, Ismail berkata pentadbiran beliau sedia untuk melaksanakan beberapa pembaharuan institusi bagi memperkukuhkan peranan Parlimen, ia adalah cadangan yang mirip dengan apa yang ditawarkan pendahulu beliau Muhyiddin Yassin di hujung pentadbirannya bulan lalu.

Tawaran Ismail antara lain termasuk memastikan keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli Parlimen kerajaan dan ahli Parlimen pembangkang, pelaksanaan Undi 18, rundingan bersama ahli Parlimen dan dipersetujui secara bersama sebelum pembentangan rang undang-undang dan ketua pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri serta menghadkan 10 tahun penggal jawatan perdana menteri.

Pada 25 Ogos lalu, Ismail bertemu dengan pemimpin utama PH sebagai langkah yang dilihat mematuhi nasihatan istana supaya kerajaan yang baru ditubuhkan bekerjasama dengan pembangkang dalam usaha menangani pandemik Covid-19.

Pertemuan mereka itu bahkan menyaksikan sebuah kenyataan ditandatangani bersama yang jarang berlaku sebelum ini bagi mendapatkan titik persefahaman dalam usaha “menurunkan suhu kemelut politik” dalam negara.

Dalam kenyataan yang turut ditandatangani Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu itu, mereka berkata antara lain persetujuan bersama untuk komited dalam memperkukuhkan peranan Parlimen dan menjadikannya lebih telus.

Bagaimanapun, pada awal bulan ini DAP berkata kegagalan Ismail untuk membentang usul undi percaya dalam sidang Dewan Rakyat bermaksud kerjasama rentas parti politik tidak mungkin berlaku.

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata undi percaya adalah “kedudukan sebenar pendirian Perlembagaan” walaupun Agong sudahpun memberitahu Ismail undi sedemikian tidak lagi perlu diadakan.

Dewan Rakyat akan bersidang semula esok.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.