Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah tiba di Bangunan Parlimen pagi ini bagi Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14.
Keberangkatan tiba Sultan Abdullah pada 10 pagi disambut Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.
Serentak dengan ketibaan Sultan Abdullah, lagu Negaraku dimainkan sebelum Agong berangkat ke bilik rehat diraja.
Agong kemudian akan menyampaikan titah diraja.
Menurut takwim di laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 17 hari dan berakhir pada 12 Oktober manakala Dewan Negara menyambung persidangan dari 4 hingga 26 Oktober depan.
Persidangan kali ini dijangka akan menumpukan kepada isu pemulihan negara susulan pandemik Covid-19 dan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) selain usaha transformasi Parlimen.
Persidangan Parlimen ditangguhkan sejak awal tahun ini ekoran pandemik Covid-19 yang turut menyaksikan perisytiharan darurat untuk seluruh negara pada 12 Januari dan berkuat kuasa hingga 1 Ogos dalam usaha mengekang penularan wabak itu.
Bagaimanapun, ahli Parlimen bertemu pada sidang khas Dewan Rakyat, mesyuarat yang diadakan semasa Majlis dalam tangguhan pada 26 Julai lepas.
Namun, sidang khas yang sepatutnya berlangsung selama lima hari itu ditangguhkan selepas empat hari bersidang susulan perkembangan kes positif Covid-19 berlaku di Parlimen.