Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini menggesa Ismail Sabri Yaakob untuk menerangkan rang undang-undang melarang bukan Islam menyebarkan agama terhadap penganut Islam, mengatakan ia adalah “cadangan PAS” yang menyanggahi konsep “Keluarga Malaysia” yang diutarakan perdana menteri.
Lim turut menyelar sikap PAS yang disifatkan bermusuhan terhadap bukan Islam selepas menteri hal ehwal agama Islam menjelaskan undang-undang yang dicadangkan tersebut tidak memberi kesan terhadap kebebasan beragama dalam negara.
“Hal ini berpunca dari rekod buruk PAS yang terang-terang menunjukkan permusuhan atau gagal menghormati masyarakat bukan Islam ketika pemimpinnya ingin menyekat hak Perlembagaan orang bukan Islam atau mengurangkan penyertaan orang bukan Islam dalam kehidupan seharian atau dalam kerajaan, bukan hanya dalam soal agama,” kata Lim menjelang memorandum persefahaman yang bakal ditandatangani beliau bersama Ismail hari ini bagi memastikan kestabilan politik demi membantu pemulihan negara daripada pandemik.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad yang juga merupakan pemimpin PAS menjelaskan rang undang-undang tersebut adalah bagi mencegah penyebaran agama selain Islam dalam kalangan penganut Islam di tiga Wilayah Persekutuan; Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Hampir kesemua negeri di Malaysia memiliki enakmen melarang penyebaran ajaran bukan Islam kepada umat Islam dengan pengecualian di Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Lim berkata undang-undang sedemikian rupa di wilayah-wilayah persekutuan tidak dapat diterima oleh ramai warga Malaysia, mengatakan penganut Islam sendiri “menolak cadangan dari PAS” tersebut kerana ia bercanggah dengan kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan.
“Malaysia bersama Sabah dan Sarawak adalah negara yang memiliki kepelbagaian budaya dan agama, dan masyarakat yang pelbagai di negara ini hidup penuh harmoni dan aman,” katanya.
Dalam pada itu, Lim turut mempersoalkan nama rang undang-undang tersebut iaitu Rang Undang-Undang Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam, mengatakan ia menyinggung masyarakat bukan Islam.
“Jika kebebasan bukan Islam dihormati dan undang-undang Syariah hanya terpakai kepada penganut Islam sahaja, enakmen tersebut tidak sepatutnya dinamakan sebagai Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam,” katanya.