- Iklan -
Berita

PBB gesa dunia jalin interaksi dengan Taliban, beri ‘talian hayat’ kepada Afghanistan

PBB percaya bantuan dana dapat digunakan untuk memperbaiki hak asasi manusia di Afghanistan ketika ramai yang bimbang pentadbiran kejam rejim Taliban kembali berulang.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Isnin menggesa masyarakat antarabangsa untuk berinteraksi dengan Taliban dan memberikan “talian hayat” kepada rakyat Afghanistan ketika penerbangan komersial asing pertama meninggalkan Kabul semalam.

Guterres berada di Geneva selaku tuan rumah persidangan penderma bagi mengumpul ratusan juta dolar untuk negara dilanda keganasan perang itu selepas ia diambil alih oleh Taliban hampir sebulan lalu dalam serangan kilat sejurus Amerika Syarikat (AS) yang sedang mengundurkan tenteranya.

Menurut Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan PBB Marin Griffith, negara-negara penyumbang telah berikrar untuk memberikan bantuan sebanyak AS$1.2 bilion (RM4.59 bilion) namun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai rayuan derma AS$600 (RM2.5 bilion) juta bagi dana kecemasan untuk kegunaan sepanjang tahun ini.

Gutteres berkata, beliau percaya bantuan dapat digunakan bagi meningkatkan pengaruh untuk memperbaiki hak asasi manusia, di tengah kebimbangan negara itu akan kembali kepada pentadbiran kejam rejim Taliban dari 1996 hingga 2001.

“Tidak mungkin kita dapat memberikan bantuan kemanusiaan di Afghanistan tanpa terbabit dengan pihak berkuasa ‘de facto’,” kata Guterres kepada menteri yang menghadiri persidangan itu.

“Sangat penting untuk berhubung dengan Taliban pada masa ini,” katanya.

Guterres menggesa negara-negara untuk mencari jalan bagi membolehkan suntikan wang tunai ke dalam ekonomi Afghanistan bagi mencegah keruntuhan secara langsung yang akan membawa akibat buruk kepada Afghanistan dan wilayah lain.

“Saya tidak fikir jika pihak berkuasa de facto sebuah negara bersikap tidak baik, jalan keluarnya adalah dengan menghukum rakyat,” katanya lagi.

Bagaimanapun Guterres masih belum menyatakan dengan jelas berapa jumlah dana yang akan disalurkan ke negara itu ketika ia menghadapi ancaman kekurangan zat makanan dan kebuluran berikutan perpindahan penduduknya secara besar-besaran selain musim sejuk yang bakal menjelang.

Taliban menjanjikan pemerintahan yang lebih sederhana kali ini, namun negara itu melaporkan tindakan rejim yang menembak ke udara bagi membubarkan tunjuk perasaan baru-baru ini oleh wanita yang menuntut hak bagi mendapatkan pendidikan dan pekerjaan.

Ketua hak asasi PBB, Michelle Bachelet mengkritik dan kecewa dengan barisan Kabinet sementara Afghanistan yang disifatkan tidak inklusif dan kurang pembabitan wanita serta etnik bukan Pashtun.

Dengan kebimbangan berlakunya serangan dan ancaman balas dendam di Kabul, masih ramai penduduknya ingin melarikan diri dari negara itu, dan penerbangan komersial antarabangsa pertama yang berlepas semalam sejak pengambilalihan Taliban memberikan harapan kepada sebahagian besar penduduknya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.