- Iklan -
Berita

Penambahbaikan SOP Parlimen pastikan sidang selamat, kata speaker

Beberapa perkara dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa Dewan semalam, antaranya mengenai SOP pergerakan warga Parlimen termasuk mewajibkan ujian RTK Antigen Saliva.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun. Gambar: Bernama
Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun. Gambar: Bernama

Prosedur operasi standard (SOP) di bangunan Parlimen ditambah baik bagi mengekang penularan wabak Covid-19 serta memastikan persidangan Dewan Rakyat kali ini berjalan dengan selamat, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata beberapa perkara dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa Dewan semalam, antaranya mengenai SOP pergerakan warga Parlimen termasuk mewajibkan ujian RTK Antigen Saliva (sampel air liur) dijalankan secara berkala pada setiap Isnin dan Rabu.

“Ujian pertama akan dilakukan esok (Rabu). Turut dipersetujui, carta alir mengenai tatacara pengurusan individu yang memasuki kompleks Parlimen. Selain itu, ahli-ahli Yang Berhormat berstatus HSO (perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah) disebabkan menjadi kontak rapat, akan diberi pilihan untuk sesi undian dengan memakai PPE. Ini pernah dilakukan pada 14 dan 15 Disember lepas.

“Sistem penggiliran (ahli Parlimen) dalam Dewan Rakyat dilakukan setiap satu jam sebagai langkah mengekang penularan,” katanya dalam pemasyhuran hari pertama persidangan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.

Azhar berkata mesyuarat dewan itu dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Shahidan Kassim (BN-Arau); Alice Lau Kiong Yien (PH-Lanang); Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai); dan Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut).

Selain itu, beliau mengingatkan semua ahli Parlimen untuk tidak menanggalkan pelitup muka ketika bercakap atau berbahas serta menggalakkan pemakaian pelitup muka berganda.

“Pengurusan Parlimen Malaysia juga membuat penambahbaikan kualiti udara.

“Saya berharap melalui penambahbaikan kualiti udara di dalam bangunan Parlimen dan pematuhan ketat SOP oleh semua warga Parlimen, ia dapat melindungi kita daripada wabak penyakit ini,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.