Shopee merupakan platform e-dagang paling popular di Malaysia bagi separuh pertama 2021, menurut satu kajian dilakukan iPrice Group dengan kerjasama SimilarWeb.
Berdasarkan kajian itu, dengan jumlah purata kunjungan 18 juta, sekali gus menyaksikan pertumbuhan 54% pada separuh pertama 2021 berbanding tempoh sama 2020.
Sementara Lazada memperoleh 13.9 juta kunjungan pada separuh pertama 2021, meletakkan platform itu di tangga kedua teratas.
“Selain itu, platform e-dagang tempatan, PG Mall menyaksikan pertumbuhan 158% bagi purata trafik dalam tempoh tersebut.
“Prestasi memberangsangkan PG Mall boleh dikaitkan dengan model platform itu yang membolehkan perusahaan kecil dan sederhana untuk menjual pelbagai produk sekali gus mentransformasi perniagaan tradisional kepada perniagaan dalam talian,” kata kajian itu.
Bagaimanapun, kajian itu mendapati laman sesawang berkaitan kategori tidak penting seperti kosmetik dan fesyen merosot.
“Kunjungan laman web kosmetik menyaksikan penurunan 38% manakala laman sesawang fesyen yang sebelum ini merupakan sebahagian besar daripada industri e-dagang, hanya menyaksikan pertumbuhan 5%.
“Laman sesawang fesyen seperti fesyen perkahwinan menyaksikan penurunan 52% memandangkan tiada majlis perkahwinan. Disebabkan bekerja dari rumah, ramai juga lebih gemar memakai pakaian yang lebih selesa.”
Kajian itu turut mendapati walaupun penularan Covid-19 sejak awal tahun lalu memberi impak negatif terhadap kebanyakan sektor ekonomi, ia didapati mendorong peningkatan ekonomi digital Malaysia.
Menurut kajian itu, minat terhadap pasaran dalam talian secara umum di Malaysia melonjak pada separuh pertama 2021 berbanding tempoh sama 2020.
Lonjakan itu didorong oleh perubahan gaya perbelanjaan orang ramai yang beralih daripada pembelian secara konvensional kepada pembelian dalam talian disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) oleh kerajaan bagi menangani penularan wabak Covid-19.
“Berdasarkan survei JobSreet, 67% syarikat di Malaysia melaksanakan konsep bekerja dari rumah. Memandangkan ramai meluangkan lebih banyak masa di rumah, maka cara perbelanjaan mereka juga akan berubah.
“Kajian menunjukkan purata trafik platform e-dagang kekal tinggi.
“Ini menunjukkan situasi Covid-19 terus melonjakkan permintaan terhadap pembelian dalam talian, terutama bagi barangan keperluan,” kata kajian itu.
Kajian itu turut menyifatkan prestasi tersebut sebagai satu berita baik memandangkan lebih 90% daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana terjejas teruk akibat Covid-19.