- Iklan -
Berita

Warisan bidas PH tandatangan MoU dengan kerajaan

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata partinya tidak mahu dianggap gagal jika kerajaan ketika ini tidak dapat melaksanakan apa yang ditawarkannya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Semporna Mohd Shafie Apdal. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Semporna Mohd Shafie Apdal. Gambar: Bernama

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal hari ini membidas Pakatan Harapan (PH) kerana menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Putrajaya, mengatakan partinya tidak mahu dianggap gagal jika kerajaan ketika ini tidak dapat melaksanakan apa yang ditawarkannya.

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, Shafie yang merupakan ahli Parlimen Semporna menegaskan Langkah Sheraton yang menyebabkan peralihan kerajaan sebagai “mencuri” mandat PH dan sekutunya.

“Kita kuasa yang ada, diberi mandat oleh rakyat. Dirompak (stolen) mandat itu. Ya, kita akui betul. Kami bersetuju.

“Namun sekarang kita kerjasama dengan mereka. Kita menandatangani memorandum dengan mereka,” katanya.

Menurut Shafie, pembangkang seakan tidak sedar perkara tersebut dan turut mempersoalkan nilai hidup yang dipegang rakan-rakannya dalam PH.

“Saya tidak mahu pada akhirnya, jika kerajaan sekarang gagal dan oleh sebab saya menandatangani memorandum itu, saya juga (akan turut sama dianggap) gagal.

“Rakyat akan melihatnya. Tentang bagaimana kedudukan pemerintah negara ini,” katanya.

Warisan dan Pejuang merupakan dua parti pembangkang yang tidak menandatangani Memorandum Persefahaman untuk Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan dan pembangkang.

Parti berpusat di Sabah itu mendakwa mereka tidak dilibatkan dalam rundingan yang disifatkan sepihak antara kerajaan dan gabungan PH.

Sebelum ini, Shafie menyatakan Warisan menolak perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) yang direka PH kerana tidak mengetahui kandungan MoU yang dimeterai Isnin lalu itu.

MoU yang ditandatangani bersama kerajaan dan pembangkang tersebut adalah peristiwa bersejarah selepas kedua-dua blok sepakat dengan beberapa dasar bagi mengembalikan kestabilan politik ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

Selepas beberapa pusingan rundingan antara Putrajaya dan PH, mereka bersetuju untuk melaksanakan pendekatan dwi partisan dalam usaha pemulihan negara berdepan impak pandemik.

MoU tersebut menyenaraikan enam perkara termasuk; pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.