- Iklan -
Berita

Impian tertangguh selepas kerajaan rayu keputusan mahkamah berhubung kewarganegaraan

Dinafikan mendapat kerakyatan automatik kerana ibu warga Malaysia, anak-anak terpaksa tunggu lagi.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita melihat dokumen pengenalan diri rakyat Malaysia atau MyKad. Ibu warga Malaysia berdepan masalah untuk mendapatkan kerakyatan bagi anak hasil perkahwinan dengan warga asing di luar negara. Gambar: AFP
Seorang wanita melihat dokumen pengenalan diri rakyat Malaysia atau MyKad. Ibu warga Malaysia berdepan masalah untuk mendapatkan kerakyatan bagi anak hasil perkahwinan dengan warga asing di luar negara. Gambar: AFP

Priscilla berusia 25 tahun ketika meninggalkan kampung halamannya di Melaka dan menaiki kapal terbang menuju Eropah untuk berkahwin dengan seorang lelaki Perancis.

Selama lima tahun dia tinggal di sebuah kawasan pedalaman Perancis di mana suaminya yang merupakan seorang tentera ditempatkan.

Menjalani kehidupan bersama, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.

Namun malangnya, pada 2010, Priscilla bercerai.

Selepas memenangi hak penjagaan bagi anak-anaknya, dia pulang ke Malaysia, dengan harapan negara yang dianggap tanah tumpah darahnya akan menyediakan kehidupan yang lebih baik buat mereka bertiga.

Namun dia tidak pernah menyangka akan berdepan pelbagai masalah bagi menyediakan kehidupan baru kepada dua anak perempuannya itu.

Kedua-dua anaknya tidak mendapat kewarganegaraan Malaysia dan ibu itu tidak dapat melakukan banyak perkara bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

Ketika Perlembagaan Persekutuan membenarkan lelaki warga Malaysia yang berkahwin dengan wanita asing secara automatik berhak mewariskan kewarganegaraan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara, namun ia tidak menyatakan kedudukan yang sama bagi wanita warga Malaysia.

Berikutan itu, wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki asing dan melahirkan anak di luar negara berdepan pelbagai rintangan dalam usaha membawa anak-anak pulang.

Tanpa kewarganegaraan, mereka terpaksa memohon visa pelawat jangka panjang dan perlu memperbaharuinya setiap dua tahun.

Jika visa itu tidak diperbaharui tepat pada masanya, anak-anak itu perlu meninggalkan negara setiap tiga bulan.

“Bahkan untuk dapatkan visa itu pun kadang-kadang memakan masa beberapa bulan,” kata Priscilla kepada MalaysiaNow.

Proses itu menjadi lebih rumit akibat krisis Covid-19 di mana kebanyakan prosedur dilakukan secara dalam talian.

Dalam pada itu, anak-anak Priscilla juga tidak memiliki akses pendidikan percuma, penjagaan kesihatan atau bantuan kerajaan yang disediakan kepada mereka yang memiliki kewarganegaraan Malaysia.

Kesemua itu menyebabkan kos semakin bertambah, menjadikan beban di bahu wanita itu semakin berat untuk menyediakan kehidupan yang baik kepada anak-anak seperti orang lain.

Minggu lalu, mereka meraikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan perkataan “bapa” dalam Perlembagaan mesti dibaca dengan memasukkan golongan ibu sekali gus membenarkan anak-anak wanita warga Malaysia kelahiran luar negara mendapat kewarganegaraan secara automatik.

Bagaimanapun, kerajaan kemudiannya memfailkan rayuan bagi membatalkan keputusan tersebut sehingga ia mencetuskan reaksi tegas dari pelbagai pihak termasuk dalam kalangan menteri seperti Zuraida Kamaruddin, Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Annuar Musa.

Pengasas bersama Foreign Spouses Support Group Malaysia Bina Ramanand berkata rayuan yang difailkan kerajaan itu adalah “satu langkah ke belakang” bagi wanita Malaysia.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata kerajaan perlu ambil peluang ini untuk menghentikan diskriminasi gender berhubung perkara tersebut.

“Sudah banyak rungutan bukan sahaja daripada ibu-ibu yang terkesan dengan perkara ini, bahkan kecaman daripada populasi wanita Malaysia di seluruh dunia,” katanya.

“Keputusan mahkamah itu adalah langkah positif untuk menghentikan diskriminasi gender terhadap ibu-ibu Malaysia dan keputusan tersebut adalah bagi kepentingan anak. Lagi pun, bukankah wanita Malaysia dan anak mereka adalah sebahagian dari Keluarga Malaysia?” Tambahnya menggunakan konsep yang diperkenalkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika perutusan sulungnya selepas dilantik.

Ketika ini, golongan ibu yang melalui keadaan tersebut terpaksa terus berdepan proses rumit untuk memohon kewarganegaraan dan visa selain menanggung kos lain yang semakin meningkat bagi pendidikan dan penjagaan kesihatan anak-anak di negara ini.

Bina berkata pandemik Covid-19 juga menjadi satu faktor penting isu tersebut perlu diselesaikan secepat mungkin kerana sebahagian ibu-ibu yang berada di luar negara tidak dapat pulang ke Malaysia ekoran sekatan sempadan kepada bukan warganegara – dalam kes ini, ia adalah anak-anak mereka sendiri.

“Sebahagian mereka terpaksa memilih untuk kekal berada dalam perkahwinan yang toksik berikutan keselamatan undang-undang bagi anak-anak yang meningkatkan lagi risiko keganasan berasaskan gender,” katanya sambil menambah permohonan mereka turut ditolak tanpa sebab selepas tempoh menunggu yang panjang.

Bahkan sebahagian mereka sudah berputus asa dan meninggalkan negara.

Namun Priscilla terus menunggu dengan penuh harapan.

Dia berdoa agar tiba satu hari di mana anak-anaknya dibenarkan untuk mendapat kewarganegaraan.

“Jiwa dan hati anak-anak perempuan saya adalah Malaysia.

“Memang benar, bapa mereka adalah warga Perancis, tapi itu bapa mereka.

“Macam mana mereka boleh dikatakan sebagai warga Perancis sedangkan mereka tak boleh berbahasa Perancis. Mereka bercakap dalam Bahasa Melayu, Inggeris dan sedikit Mandarin kerana belajar di sekolah.”

Ketika ditanya berhubung impian mereka, salah seorang anak perempuan Priscilla memberitahu MalaysiaNow dia mahu menjadi seorang chef, “di Malaysia”, kata anak berusia 11 tahun itu.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada impiannya akan tercapai atau tidak.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.