- Iklan -
Berita

Laman ‘Memorial Covid-19 Malaysia’ dibangunkan kenang mangsa terkorban

Ia menyiarkan gambar dan info mengenai arwah atau mendiang yang diperoleh daripada perkongsian waris atau keluarga.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan berpakaian lengkap PPE ketika pengebumian jenazah pesakit Covid-19. Gambar: Bernama
Petugas kesihatan berpakaian lengkap PPE ketika pengebumian jenazah pesakit Covid-19. Gambar: Bernama

Sebuah laman sesawang dikenali sebagai “Memorial Covid-19 Malaysia” dibangunkan bagi mengenang dan menghormati individu yang terkorban akibat virus itu.

Inisiatif oleh sekumpulan sukarelawan terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama itu boleh dilayari menerusi http://c19memorial.my dan ia menyiarkan gambar dan info mengenai arwah atau mendiang yang diperoleh daripada perkongsian waris atau keluarga mangsa melalui laman sesawang yang dihebahkan mulai 31 Ogos lepas.

“Data juga diambil dan dikumpul melalui berita yang dilaporkan media tempatan serta status posting awam di media sosial.

“Selain itu, laman web ini juga menyediakan rujukan bantuan bagi kesihatan mental serta pautan kepada agensi-agensi yang menawarkan bantuan menghadapi pandemik ini.

“Justeru, tanggal 19 hari bulan setiap bulan ditetapkan sebagai hari peringati mangsa Covid-19,” menurut Pasukan sukarelawan berkenaan dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, inisiatif bagi membangunkan laman sesawang berkenaan bermula daripada satu tweet pemilik akaun twitter Aidila Razak pada 6 Ogos lepas yang menyuarakan idea membangunkan memorial bagi angka kematian Covid-19 yang ketika itu mencecah 10,000 orang.

“Lebih daripada 12 orang individu menawarkan diri dan perbincangan pertama kali diadakan secara dalam talian pada 10 Ogos lepas.

“Meskipun baru berkenalan, namun perbincangan dan kerjasama sepanjang pembangunan memorial berjalan lancar kerana setiap sukarelawan yang terlibat bersemangat tinggi dan mempunyai sesuatu yang boleh ditawarkan sama ada kemahiran dalam aspek teknikal pembangunan laman sesawang, reka bentuk grafik, pengumpulan data, penulisan, terjemahan dan editorial, serta pengurusan media sosial,” kata pasukan sukarelawan itu.

Pembangunan laman sesawang tersebut turut mendapat khidmat nasihat daripada Bolehspace iaitu satu kumpulan yang aktif memperjuangkan isu kebolehcapaian yang saksama kepada golongan Orang Kurang Upaya.

“Kami berusaha sedaya upaya supaya laman web ini dapat diakses semua golongan.

“Hasilnya, memorial ini berjaya menawarkan pilihan paparan mesra disleksia, teks alternatif serta penetapan paparan yang sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah penglihatan,” menurut pasukan itu.

Rakyat Malaysia juga dialu-alukan berkongsi cerita bersama orang tersayang pada tanggal ini melalui media sosial masing-masing dengan menggunakan #c19memorialmy dan tag covid19memorialmy.

Sebarang komen dan penambahbaikan boleh dihantar kepada pihaknya menerusi e-mel di [email protected].

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.