Walaupun sudah lebih 60 tahun negara mengecap kemerdekaan, masih segar dalam ingatan seorang bekas polis tentang susah payah orang-orang terdahulu dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.
Koperal bersara Krishnan Nair Raman Nair, 85, lahir di Sungai Kasap, Segamat, Johor pada 1936 yang merupakan antara individu terawal menyertai pasukan polis yang waktu itu dinamakan “Federation of Malaya Police Force” bawah seliaan Inggeris pada 1953.
“Masa muda-muda dulu pernah ada saudara saya suruh saya masuk kerja di Lembaga Letrik Pusat, tapi saya tolak,” katanya kepada MalaysiaNow ketika ditemui di rumahnya di Cheras, Kuala Lumpur.
Krishnan menghadiri temudaga polis di Muar, Johor dan kemudiannya diterima masuk sebelum dihantar ke Tanjung Kling, Melaka selama tiga bulan bagi menjalani latihan.
“Selepas tamat latihan, mereka menghantar saya ke Balai Polis Tangkak, seterusnya diminta ke Sagil di Muar untuk menjalani operasi bagi membanteras komunis di sana sekitar tahun 1954,” katanya.
“Kami dapat maklumat dari perisik di Tangkak dan terus diminta ke sana mengepung pekan Sagil. Kami berjaya menembak mati dua orang komunis ketika itu dan bawa mayat mereka ke ASP Polis Tangkak, Gurchan Singh.”
Krsihnan merujuk kepada Gurchan yang dikenali kerana kegigihan melawan penjajahan Jepun dari 1942 hingga 1945 sehingga digelar “Singa Malaya.”
Krishnan ditempatkan dalam unit PSG 4, yang terdapat seramai 400 anggota.
Katanya walaupun unit itu majoritinya Melayu dan hanya terdapat sebilangan kaum Cina dan India, kehidupan semasa bekerja sangat harmoni dan tiada sebarang perbalahan antara mereka.
Krishnan kemudiannya dipindahkan ke Durian Condong, berdekatan dengan kawasan Bukit Kepong yang terkenal dengan insiden serbuan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, pada 23 Februari 1950 yang mengorbankan lebih 25 anggota.
Peristiwa Bukit Kepong itu turut difilemkan dengan arahan dan dilakonkan oleh Jins Shamsuddin dan ditayangkan pada 1981.
“Di sana kami dapati ramai penduduk kampung yang keluar masuk membawa tin susu yang berisi beras ditutup dengan lapisan surat khabar.
“Mereka hantar barang keluar kampung, lepas itu bawa balik semula. Mereka ini kebanyakannya menanam sayur dan pelbagai tanaman lain di sekitar kampung,” katanya.
Katanya, akhirnya mereka dapat tahu bahawa ini merupakan cara penduduk kampung membekalkan barang kepada komunis.
“Bukan sahaja makanan, mereka ini tali barut turut memberi maklumat kepada komunis,” katanya.
“Biasanya mereka ini diugut supaya memberikan bekalan makanan, mereka terpaksa, kalau tidak kena bunuh.”
Krishnan kemudiannya dihantar ke Balai Polis Hulu Langat, untuk menjalani latihan kepimpinan selama dua bulan sebelum dihantar semula ke Durian Condong.
“Ketika itu kita mendapat maklumat Bukit Kepong akan diserang sekali lagi dan kami semua diminta untuk bersiap sedia,” katanya.
“Kami tidak mendapat sebarang arahan ke sana, tapi saya nampak ada kebakaran berlaku. Mungkin ada berlaku serangan atau ada kebakaran, tali saya nampak asap berkepul-kepul.”
Krishnan pakar dalam pemetaan, kompas dan boleh menggendalikan pelbagai jenis senjata dan sepanjang berkhidmat dari 1953 hingga 1960, beliau tidak pernah diserang hendap komunis.
“Jadi setiap kali bergerak jalankan tugas, meronda dan sebagainya saya akan pastikan kami bergerak ke arah berlawanan. Komunis ke kiri, kami jalan ke kanan,” katanya.
“Jika ada berlaku pertempuran, saya juga ditugaskan untuk mengambil dan membawa mayat komunis. Tugas ini walaupun nampak kecil, tapi perlu berhati-hati sebab komunis ini banyak muslihatnya. Ada yang sempat letak bom di dada sebelum mati, bila terbalikkan mayat, bom meletup.”
Selepas berhenti sebagai polis, beliau kemudian berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di Hotel Merlin (kini Hotel Concorde) di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur hingga pertengahan tahun 1980-an.
Atas jasa dan baktinya, Krishnan menerima pingat “General Service Medal” daripada Ratu Elizabeth II dari United Kingdom pada 1964 dan bakal menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) pada pada 16 September akan datang.
Krishnan kini tinggal sendirian selepas kehilangan isterinya yang menghidap penyakit kencing manis empat tahun lalu.
Hasil perkahwinannya itu, Krishnan dianugerahkan empat orang anak dan kini mempunyai sembilan orang cucu.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.