- Iklan -
Berita

MPN optimis Langkawi terima lebih ramai pelancong dalam masa terdekat

Muhyiddin berkata pada peringkat awal, banyak perkara yang perlu diperhalusi namun semuanya dijangka berjalan lancar setelah keyakinan rakyat dan pengusaha industri pelancongan di Langkawi meningkat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan pengusaha pelancongan ketika sesi dialog bersama Pengusaha Hotel, Pengusaha Homestay, Pengusaha Kereta Sewa dan Pemandu Teksi Langkawi pada 16 September, 2021. Gambar: Bernama
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan pengusaha pelancongan ketika sesi dialog bersama Pengusaha Hotel, Pengusaha Homestay, Pengusaha Kereta Sewa dan Pemandu Teksi Langkawi pada 16 September, 2021. Gambar: Bernama

Majlis Pemulihan Negara optimis lebih ramai pelancong akan berkunjung ke Langkawi dalam masa terdekat apabila projek rintis gelembung pelancongan mencapai kejayaan.

Pengerusinya, Muhyiddin Yassin berkata pada peringkat awal projek itu, banyak perkara yang perlu diperhalusi namun semuanya dijangka berjalan lancar setelah tahap keyakinan rakyat dan pengusaha industri pelancongan di Langkawi meningkat.

“Saya jangka apabila tahap keyakinan dalam kalangan pengusaha pelancongan meningkat dan kemudahan yang disediakan kembali boleh digunakan pelancong, apa lagi penerbangan dari luar negara dibolehkan masuk ke sini, maka peratusan atau kadar (pelancong ke Langkawi) yang dijangka awal itu boleh berubah.

“Saya harap lebih besar daripada itu kerana Langkawi mempunyai kapasiti 12,000 bilik, insya-Allah lebih banyak lagi hotel baharu akan dibina bila keadaan bertambah baik,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri sesi dialog bersama pengusaha hotel, inap desa, kereta sewa dan pemandu teksi Langkawi semalam.

Beliau diminta mengulas sasaran kementerian pelancongan, seni dan budaya yang menjangkakan 200,000 pelancong berkunjung ke Langkawi hingga Disember ini susulan pembukaan semula industri di bawah projek rintis gelembung pelancongan bermula semalam.

Muhyiddin juga menjangkakan Majlis Keselamatan Negara melonggarkan prosedur operasi standard terutama berkaitan rentas negeri apabila Malaysia mencapai tahap imuniti kelompok yang diperlukan dan lebih banyak negeri beralih ke Fasa Dua atau Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara.

Beliau berkata apabila ini berlaku, rakyat akan dibenar menjalankan lebih banyak aktiviti bukan hanya dalam sektor pelancongan tetapi juga perniagaan, pengangkutan dan perkilangan.

“Apa yang penting supaya kita dapat lihat proses pemulihan kita cepat, kita tidak boleh bertangguh kerana kita telah menanggung kos yang terlalu mahal dalam tempoh setahun yang lepas disebabkan oleh pandemik,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.