Kemungkinan wujud “ketidakselesaan” di Malaysia susulan pengumuman perikatan pertahanan baru antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS) di mana Australia bakal memperolehi teknologi kapal selam berkuasa nuklear, kata seorang pakar.
Seorang penganalisis dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia Thomas Daniel berkata perikatan yang dinamakan sebagai Aukus adalah petunjuk serius berhubung komitmen AS di Asia Pasifik.
Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau menyatakan perjanjian tersebut akan menyaksikan AS berkongsi beberapa teknologi ketenteraan paling sensitif miliknya dengan Australia.
Susulan itu, Australia akan menjadi negara kedua selepas Britain yang memiliki akses teknologi nuklear AS bagi kapal selam.
“Seperti kebanyakan negara-negara Asia Tenggara, Malaysia mungkin tidak selesa tentang bagaimana satu lagi perjanjian yang tertumpu kepada pertahanan melibatkan rakan dialog Asean hadir di rantau ini bakal mempengaruhi ketegangan serantau,” katanya dan menambah hubungan negara-negara di rantau ini sudahpun tegang.
Daniel merujuk kehadiran kuasa-kuasa besar di rantau ini, terutamanya di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian antara banyak negara.
China membina banyak pangkalan ketenteraan di beberapa pulau buatan di kawasan tersebut dan turut menuntut sebahagian besar wilayah maritim di sekelilingnya.
Tindakan Beijing itu menyebabkan ketidakselesaan antara negara-negara jirannya di Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Dalam pada itu, AS dan sekutunya, mengerahkan kapal perang dan aset ketenteraan lain sebagai tindak balas terhadap tindak-tanduk China di perairan tersebut.
Perikatan Aukus untuk mengukuhkan kemampuan ketenteraan dalam menghadapi persaingan yang semakin meningkat dengan China diumumkan pada 15 September.
Langkah itu mencetuskan reaksi tegas dari China yang menuduh AS memulakan persaingan senjata.
Wakil China ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa di Vienna, Wang Wun menyifatkan langkah itu sebagai “tindakan yang jelas mahu meningkatkan penggunaan nuklear”.
Ia juga mendapat reaksi balas dari Perancis yang kerugian selepas Canberra membatalkan perjanjian A$40 bilion dengannya bagi jualan kapal selam konvensional ke Australia.
Menteri Luar Negara Perancis Jean-Yves Le Drian menyatakan langkah tersebut sebagai “tikaman belakang” dari Australia.
Daniel berkata kapal selam yang ditawarkan di bawah Aukus akan menggunakan tenaga nuklear, tidak bersenjata, sambil menambah negara-negara lain di luar rantau itu sudah lama mengendalikan aset sedemikian di Asia Tenggara.
“Zon Bebas Nuklear Asia Tenggara belum ditandatangani oleh negara yang memiliki senjata nuklear,” tambahnya.
Setakat ini, enam negara memiliki kapal selam berkuasa nuklear: AS, UK, China, Rusia, Perancis dan India.
Perjanjian Aukus dijangka akan membolehkan Australia menerima lapan kapal selam jenis itu.
Australia menjadi anggota Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan pakatan Five Eyes.
FDPA adalah kerjasama pertahanan yang turut melibatkan UK, New Zealand, Singapura dan Malaysia sementara Five Eyes adalah pakatan perkongsian risikan antara lima negara demokratik dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi terdiri daripada AS, UK, Kanada, Australia dan New Zealand.
Tidak seperti kedua-dua pakatan ini, kata Daniel, Aukus mempunyai tujuan khusus bagi menangani keselamatan dan pertahanan jangka panjang Australia.
Daniel menambah walaupun sebuah negara menjadi sekutu AS, ia bagaimanpun tidak menjamin kepercayaan Amerika ketika ia melibatkan teknologi pertahanan.
“Kapal selam Amerika adalah antara yang terbaik, dan teknologinya adalah antara rahsia yang paling dijaga,” katanya.
“AS hanya pernah berkongsi teknologi kapal selam dengan Britain sebelum ini, menunjukkan betapa pentingnya Aukus bagi Australia.”
Berhubung tindak balas dari China yang menyaksikan jurucakap kementerian luar negerinya Zhao Lijian mendesak ketiga-tiga negara yang memeterai Aukus itu meninggalkan “mentaliti Perang Dingin” mereka, Daniel berkata sebilangan besar kritikan akan menghala kepada Australia selepas laporan menunjukkan Canberra bertanggungjawab mengambil peranan utama dalam mengusulkan perjanjian tersebut.
Bagaimanapun, beliau tidak yakin Aukus mampu mendorong hubungan China dan Australia sampai ke tahap ia tidak akan berbaik semula.
Sementara itu, bagi Malaysia, Daniel berkata tidak banyak perkara yang dapat dilakukan berhubung perkembangan terbaru itu.
“Apa pun yang kita kata, ia tidak akan dapat ubah banyak hal.
“Namun realitinya, kita berada di tengah-tengah perubahan strategik tanpa hasil yang terus dapat dilihat atau pasti.
“Asean dan sekutu luarannya tahu bahawa Malaysia tidak dapat menawarkan alternatif serius atau dapat menangani perubahan keadaan tersebut dengan sebarang kepastian.”