- Iklan -
Berita

PM maklum kegusaran kepada Australia berhubung Aukus, gesa elak provokasi

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menggesa semua pihak agar mengelakkan sebarang provokasi serta persaingan senjata di rantau ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyuarakan kegusaran Malaysia terhadap kerjasama Amerika Syarikat (AS), Britain dan Australia dalam perikatan Aukus yang bakal mencetuskan persaingan senjata nuklear di rantau Indo-Pasifik.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, Ismail dan Perdana Menteri Australia Scott morrison hari ini bercakap melalui telefon bagi membincangkan penubuhan Aukus dan tujuannya.

“Perdana menteri mengambil maklum perkara tersebut dan menegaskan pendirian Malaysia terhadap penubuhan Aukus ini.

“Beliau turut menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama Aukus yang bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik,” kata kenyataan tersebut dan menambah ia juga akan memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan.

Dalam perbualannya bersama Scott, Ismail berkata Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan Asean sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (Zopfan).

Beliau turut menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian dan pendekatan sedia ada Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan Malaysia, termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-Undang Laut 1982 (Unclos) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

“PM menggesa semua pihak agar mengelakkan sebarang provokasi serta persaingan senjata di rantau ini, selain menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada.

“Malaysia dan Australia bersetuju memperkukuhkan kerjasama dan
konsultasi dalam pelbagai aspek, termasuk dalam bidang pertahanan di bawah perkongsian strategik komprehensif,” kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu, MalaysiaNow melaporkan kemungkinan wujud “ketidakselesaan” di Malaysia susulan pengumuman Aukus di mana Australia bakal memperolehi teknologi kapal selam berkuasa nuklear.

Aukus dilihat sebagai petunjuk serius berhubung komitmen AS di Asia Pasifik selain bakal menyaksikan AS berkongsi beberapa teknologi ketenteraan paling sensitif miliknya dengan Australia.

Wujud ketegangan ketika ini berhubung Laut China Selatan, sebuah kawasan strategik yang kaya dengan sumber minyak dan gas di mana beberapa negara cuba menyekat pengaruh China terhadap kawasan tersebut mendakwa ia memiliki sebahagian besar kawasan maritim tersebut.

Tentera laut Indonesia turut berkata ia meningkatkan pemantauan di pulau-pulau Natuna minggu ini selepas kapal China dan AS dikesan berada di perairan tersebut.

Susulan pengumuman Aukus, Canberra menerima armada kapal selam nuklear dan peluru berpandu dari negara AS.

Presiden AS Joe Biden, Perdana Menteri Austarlia Scott Morrison dan rakan sejawatnya dari UK Boris Johnson tidak menyebut nama China namun niat mereka tersebut telah menimbulkan kemarahan Beijing.

Wakil China ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa di Vienna, Wang Wun menyifatkan langkah itu sebagai “tindakan yang jelas mahu meningkatkan penggunaan nuklear”.

Selain China, penubuhan Aukus juga mendapat reaksi tegas dari Perancis yang kerugian selepas Canberra membatalkan perjanjian A$40 bilion dengannya bagi jualan kapal selam konvensional ke Australia.

Menteri Luar Negara Perancis Jean-Yves Le Drian menyatakan langkah tersebut sebagai “tikaman belakang” dari Australia.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.