- Iklan -
Berita

78.8% populasi dewasa lengkap vaksinasi Covid-19

219,081 dos suntikan vaksin diberikan semalam melibatkan 60,773 dos pertama daripada vaksin dua dos dan 158,308 dos kedua.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai meluangkan masa bersama keluarga di Tanjung Harapan, Klang selepas Lembah Klang beralhi ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara.
Orang ramai meluangkan masa bersama keluarga di Tanjung Harapan, Klang selepas Lembah Klang beralhi ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara.

Seramai 18,453,322 individu atau 78.8% daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini JKJAV memaklumkan setakat semalam, 93.3% atau 22,001,266 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 219,081 dos suntikan vaksin diberikan semalam melibatkan 60,773 dos pertama daripada vaksin dua dos dan 158,308 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 40,375,056 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

Sementara itu, menurut portal CovidNow dan GitHub kementerian kesihatan (KKM) terdapat pertambahan 376 kes maut akibat Covid-19 dilaporkan setakat pukul 11.59 malam 19 September, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di negara ini kini 23,443.

Jumlah itu merangkumi tujuh kematian harian akibat Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam (19 September), manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau “backlog”, bagaimanapun angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

Berdasarkan graf purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari pula, trend kematian pesakit Covid-19 menunjukkan penurunan selaras peningkatan jumlah populasi lengkap divaksin serta yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.