- Iklan -
Berita

Kerajaan tidak rayu keputusan mahkamah, akan laksana Undi 18

Suruhanjaya Pilihan Raya komited untuk memastikan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Santubong, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berjalan menuju ke dewan persidangan sewaktu Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14.
Ahli Parlimen Santubong, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berjalan menuju ke dewan persidangan sewaktu Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14.

Kerajaan membuat keputusan melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya 31 Disember tahun ini seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuching.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata jemaah menteri pada 10 September lepas turut memutuskan kerajaan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

“Keputusan semakan hakim isu Undi 18 di Mahkamah Tinggi Kuching telah memerintahkan supaya umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2021.

“Justeru, walaupun dengan kekangan dan kekurangan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) komited untuk memastikan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan berdasarkan kepada keputusan mahkamah,” katanya.

Beliau menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) mengenai status pelaksanaan Undi 18 dan langkah-langkah diambil untuk melaksanakannya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Junaidi berkata SPR sebelum ini menjangkakan kesemua persiapan yang sedang diambil dalam menangani isu-isu berkaitan pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dapat diselesai dan dilaksanakan selewat-lewatnya pada September 2022.

Beliau berkata SPR sedang dalam persiapan untuk melaksanakan pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan iaitu berhubung umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik seperti yang diluluskan Parlimen pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Ke-14.

Persiapan itu, katanya meliputi pindaan kepada peraturan-peraturan pilihan raya (pendaftaran pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan prosedur operasi standard (SOP) serta penyediaan sistem serta infrastruktur bagi pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik.

“Di samping itu, SPR juga telah mengenal pasti beberapa tindakan yang perlu dilaksanakan sebelum pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik antaranya adalah membuat semakan maklumat bakal pemilih dan semakan di lapangan yang melibatkan bakal pengundi berumur 90 tahun dan ke atas.

“Semakan di lapangan ke atas alamat untuk memastikan penentuan bahagian pilihan raya yang tepat, sesi libat urus dengan semua pihak-pihak berkepentingan, program pendidikan pengundi kepada bakal pemilih dan menyemak keperluan logistik bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.