- Iklan -
Berita

Masih banyak perniagaan cuai jalankan pemeriksaan status Covid-19

Malahan beberapa pasar raya tidak memeriksa profil status MySejahtera pelanggan bagi memastikan mereka berada dalam kategori berisiko rendah.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai beratur dan membuat imbasan kod pada aplikasi Mysejahtera sebelum memasuki Kompleks Pertama bagi melakukan urusan mereka.
Orang ramai beratur dan membuat imbasan kod pada aplikasi Mysejahtera sebelum memasuki Kompleks Pertama bagi melakukan urusan mereka.

Tindakan beberapa perniagaan yang cuai dalam menjalankan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di premis-premis mereka telah membuka ruang kepada individu yang sedang menjalani kuarantin kendiri masuk ke premis sekali gus meningkatkan risiko penyebaran wabak.

Tinjauan MalaysiaNow di beberapa premis perniagaan termasuk sebuah pasar raya besar di Seremban, Negeri Sembilan didapati tidak mematuhi SOP ditetapkan seperti melakukan pemeriksaan status aplikasi MySejahtera pengunjung sebelum membenarkan mereka masuk.

Malahan di sekitar beberapa kedai serbaneka, stesen minyak dan pasaraya kecil di sekitar daerah ini, pengunjung hanya sekadar perlu melakukan imbasan kod dan pemeriksaan suhu, tetapi tidak perlu buktikan status MySejahtera mereka.

Situasi yang sama dapat dilihat di sebuah pasar raya besar di Seremban 2 apabila pengawal keselamatan yang bertanggungjawab menjaga satu-satunya pintu masuk ke premis itu, tidak melakukan pemeriksaan terhadap pengunjung dan terus membiarkan mereka masuk.

Ini sekali gus membuktikan tahap pemeriksaan yang tidak konsisten sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai tahap keselamatan pengunjung yang berisiko terdedah dengan ancaman Covid-19 ketika berkunjung di lokasi-lokasi seperti berikut.

Bagaimanapun, tinjauan MalaysiaNow di kompleks beli-belah seperti Aeon Seremban 2 dan Palm Mall Seremban mendapati kemasukan ke premis itu dikawal ketat pengawal keselamatan.

Pengunjung perlu membuktikan status aplikasi MySejahtera mereka adalah “risiko rendah dan tiada simptom” sebelum dibenarkan masuk ke kompleks beli-belah tersebut.

Pada Ahad, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, meminta supaya pemeriksaan status MySejahtera di setiap premis terutama pasar raya diperketatkan bagi memastikan individu yang berada di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) tidak masuk ke premis berkenaan.

Kenyataan Khairy itu dikeluarkan selepas kementerian kesihatan mengesan berlaku ketidakpatuhan terhadap HSO kerana masih ada individu didapati melakukan daftar masuk antaranya di pasar raya walaupun berada dalam tempoh kuarantin.

Khairy berkata, dalam tempoh seminggu sahaja berlaku 523 daftar masuk MySejahtera ke premis membabitkan individu positif Covid-19 atau berisiko tinggi yang diarahkan untuk dikuarantin di rumah.

Katanya, 18% daripada 523 daftar masuk itu berlaku di pasar raya.

Bagaimanapun Exco Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan S Veerapan bagaimanapun berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai pelanggaran HSO setakat ini.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan untuk pastikan insiden seperti yang berlaku di Kedah tidak berlaku di Negeri Sembilan.

“Di Negeri Sembilan, jika ada kes kuarantin, maka mereka akan dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

“Kami juga mempunyai pusat untuk tempatkan individu yang masih menunggu keputusan selepas berlaku kontak rapat.

“Jika negatif, mereka akan dibebaskan, tetapi jika positif, akan dihantar ke PKRC,” katanya kepada MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.