- Iklan -
Berita

Nelayan Sarawak bergelut dengan tangkapan ikan makin berkurangan

Ketika punca populasi ikan berkurangan masih tidak diketahui, keadaan tersebut memaksa sebahagian mereka beralih ke darat demi menyara hidup.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Bujang memeriksa bot sebelum ke laut. Ikan tenggiri yang sebelum ini senang ditangkap kini sukar dijumpai nelayan Sarawak di kawasan perairan Lundu.
Bujang memeriksa bot sebelum ke laut. Ikan tenggiri yang sebelum ini senang ditangkap kini sukar dijumpai nelayan Sarawak di kawasan perairan Lundu.

Selama hampir dua dekad, Bujang, seorang nelayan dari sebuah perkampungan kecil di Sarawak sentiasa menjalani rutin harian sama bagi beberapa bulan setiap tahun.

Sebelum terbit matahari, Bujang sudah turun ke jeti Kampung Sampadi di Lundu, sebuah daerah pedalaman yang terletak kira-kira 50km dari Kuching.

Di sana bot miliknya diisi minyak, ais dipunggah dan barangan untuk menangkap ikan dimuatkan dalam perut bot dan akan memeriksa sekali lagi termasuk jala yang digunakan bagi menangkap ikan tenggiri Sarawak.

Ketika musim baik, dia boleh memperolehi wang yang cukup bagi menyara hidup sepanjang peralihan musim monsun, apabila cuaca buruk menghalangnya untuk menangkap ikan.

Dengan wang yang diperolehi, lelaki itu dapat membeli barangan tambahan bagi keperluan rumahnya dan bahkan dapat merancang untuk penambahbaikan rumah kecilnya.

Pemandangan bot nelayan di jeti Kampung Sampadi, Lundu, Sarawak.

Bagaimanapun, tahun ini, rumahnya tidak dapat dibaiki kerana kerana populasi ikan tenggiri yang dulu banyak kini berkurangan bahkan hampir tidak ada.

“Sebelum ini, keluar ke laut untuk beberapa jam saya sudah dapat tangkap ratusan kilo ikan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Dengan jumlah tangkapan itu, ia cukup untuk menjana pendapatan sekitar RM500 sehari.

Namun, tahun ini situasinya sangat berbeza.

“Jumlah tangkapan makin sedikit,” kata Bujang.

“Banyak hari ke laut, saya pulang ke darat tak dapat apa-apa hasil. Hal ini buat kami rugi, dan nampaknya krisis ini akan bertambah buruk bagi beberapa hari yang mendatang.”

Walaupun dia biasa menangkap ikan tenggiri di sungai, namun populasi yang semakin menyusut kadangkala memaksa Bujang pergi ke laut.

Jika dia memilih untuk lebih lama di laut, ia bermakna minyak bot juga harus dibayar lebih.

Bujang menerangkan situasi sukar terutama impak pandemik yang dihadapi nelayan sepertinya selepas ikan makin berkurang dan sukar dijumpai di perairan Lundu, Sarawak.

Simpanan wang yang semakin cepat menyusut ketika berdepan pandemik Covid-19, menjadikan masa depannya kelihatan suram dan dia tidak pasti berapa lama lagi perlu terus bergantung dengan kemahiran menangkap ikannya bagi memperoleh pendapatan.

“Saya mahu dapatkan hasil yang baik bagi tebus semula perbelanjaan musim pandemik,” katanya.

“Jika kami dapat tangkapan yang baik, kami dapat jalani kehidupan yang baik sepanjang tahun dan mampu baiki rumah.”

Dengan fasa peralihan musim monsun yang semakin dekat, Bujang bimbang apa yang perlu dilakukannya untuk nafkah keluarga walaupun mendapat bantuan kerajaan termasuk bantuan wang tunai dan bakul makanan.

Oleh kerana tidak dapat turun ke laut sejak beberapa bulan lalu, Bujang hanya mendapat sedikit pendapatan hasil menebang kayu dari hutan bakau berdekatan dan menjualnya kepada syarikat pembinaan dengan harga RM4 sebatang.

“Saya tidak ada pilihan lain,” katanya.

“Saya ada keluarga untuk diberi makan dan saya perlu beli pakaian sekolah untuk anak-anak saya.”

Cuaca buruk, perbuatan manusia atau takdir Tuhan?

Menurut Azani Mujahid dari Universiti Malaysia Sarawak, populasi ikan yang berkurangan adalah berpunca daripada aktiviti manusia.

“Salah satu kemungkinan puncanya ialah pembangunan atau hilangnya kawasan perlindungan ikan yang terbina daripada ekosistem semula jadi,” katanya kepada MalaysiaNow.

Walaupun Persatuan Nelayan Sarawak mengatakan situasi cuaca buruk antara punca populasi ikan berkurangan, Azani mengatakan setakat ini tidak ada bukti populasi ikan berkurangan disebabkan perubahan iklim.

Secara umum, katanya, Sarawak memiliki suhu yang lebih panas di wilayah perairannya walaupun pemanasan itu tidak sama di seluruh kawasan dengan suhu dicatat lebih tinggi di Pasifik Barat.

Kawasan pembinaan Jambatan Batang Rambungan di Lundu, ia dijangka membantu ekonomi tempatan setelah siap dibina.

Namun Azani berkata hubungan antara populasi ikan dan perubahan iklim adalah satu “isu yang kompleks”.

“Walaupun kesan perubahan iklim boleh menyebabkan populasi ikan berkurangan, bukti yang kita lihat untuk kekurangan ini bukan semata-mata disebabkan oleh perubahan iklim,” katanya.

Beliau menambah kehilangan tempat pembiakan ikan dalam ekosistem yang dilindungi akibat fenomena ribut juga belum pernah didokumentasikan.

Pembangunan pesat di kawasan Lundu turut termasuk pembinaan Jambatan Batang Rambungan yang dijangka dapat membantu merangsang ekonomi setempat apabila siap.

Namun, walaupun penduduk Kampung Sempadi umumnya mahu projek itu disiapkan, kesan jangka panjang daripada pembangunan tersebut tersebut masih belum dapat dikenal pasti.

Buat masa ini, nelayan seperti Bujang terus bergelut dengan masalah tangkapan ikan yang makin berkurangan.

Sebahagian orang melihat keadaan itu adalah satu keadaan yang tidak dapat dielakkan.

“Ramai yang mengadu air berubah sejak kebelakangan ini kerana susah nak jumpa ikan,” kata Sharkawi Nawi yang merupakan ketua kampung tersebut.

“Saya tidak tahu mengapa hal ini boleh berlaku. Ini semua takdir Tuhan.”