- Iklan -
Berita

Tidak hadir pertuduhan, mahkamah keluar waran tangkap terhadap editor Sarawak Report

Perintah tersebut dikeluarkan selepas pihak pendakwaan diwakili TPR memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh yang berumur 62 tahun itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar yang dirakam pada 20 Mei 2018 menunjukkan aksi wartawan Britain Clare Rewcastle Brown dalam sebuah temu bual bersama AFP di Kuala Lumpur. Gambar: AFP
Gambar yang dirakam pada 20 Mei 2018 menunjukkan aksi wartawan Britain Clare Rewcastle Brown dalam sebuah temu bual bersama AFP di Kuala Lumpur. Gambar: AFP

Mahkamah Majistret hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown, kerana gagal hadir pada pertuduhan berkaitan kes mengeluarkan fitnah terhadap Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Majistret Nordiana Abd Aziz mengeluarkan perintah tersebut selepas pihak pendakwaan diwakili timbalan pendakwa raya memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh, yang berumur 62 tahun itu.

Nordiana kemudian menetapkan 23 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Noor Haslinda Che Seman dan Nadia Zulkefli.

Rewcastle-Brown dijadual dituduh hari ini mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku “The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose”.

Sultanah Nur Zahirah sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku “The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose” dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.

Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu, selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda telah membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.