Satu kajian kerajaan menunjukkan Vaksin Sinovac sangat berkesan untuk pertahanan tubuh daripada penyakit serius walaupun vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca menunjukkan kadar perlindungan yang lebih baik.
Data terbaru itu adalah satu pemangkin kepada firma dari China itu selepas ia menjadi subjek siasatan berhubung keberkesanannya selepas beberapa laporan mengatakan wujud jangkitan melibatkan petugas penjagaan kesihatan yang lengkap divaksinasi dengan Sinovac di Indonesia dan Thailand.
Kajian yang dijalankan kerajaan tersebut mendapati 0.011% dari 7.2 juta penerima vaksin Sinovac yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan Covid-19, kata pegawai kesihatan kepada pemberita pada Khamis.
Sebaliknya, 0.002% dari 6.5 juta penerima vaksin Pfizer-BioNTech memerlukan rawatan di ICU bagi jangkitan Covid-19, dan 0.001% dari 744,958 penerima AstraZeneca perlu menerima rawatan sama.
Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) Kalaiarasu Peariasamy yang mengetuai kajian tersebut bersama Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata vaksinasi tanpa mengira jenama telah mengurangkan risiko kemasukan pesakit ke ICU dengan peratusan 83% selain turut mengurangkan risiko kematian sebanyak 88% berdasarkan kajian lebih kecil melibatkan 1.26 juta orang.
“Kadar kemasukan ke ICU adalah sangat kurang,” katanya sambil menambah kemasukan pesakit yang telah menerima vaksin lengkap ke dalam ICU hanya sekitar 0.0066%.
Kadar kematian mereka yang telah menerima vaksin lengkap juga turut mencatat peratusan rendah dengan catatan 0.01% dan majoriti daripada mereka sama ada berusia di atas 60 tahun atau memiliki komorbiditi.
Wujud juga perbezaan dalam demografi penerima ketiga-tiga vaksin tersebut dan ia boleh menghasilkan keputusan-keputusan berbeza, kata Peariasamy.
Kebanyakan penerima vaksin AstraZeneca adalah daripada mereka yang berada dalam golongan “usia pertengahan dewasa”, sementara Pfizer dan Sinovac kebanyakannya diterima “populasi yang lebih terdedah dengan jangkitan tersebut,” katanya.
Penerima AstraZeneca turut berada dalam kelompok kecil kajian tersebut yang melibatkan sekitar 14.5 juta orang yang lengkap vaksinasi dan menerimanya lebih dari lima bulan lalu sejak 1 April.
Pada Julai lalu, Putrajaya berkata ia akan menghentikan pemberian vaksin Sinovac selepas bekalan jenama itu tamat berikutan bekalan bagi vaksin lain telah mencukup bagi program vaksinasi kebangsaannya.
Vaksin Sinovac telah digunakan secara meluas di beberapa negara termasuk China, Indonesia, Thailand dan Brazil.
Syarikat itu juga berkata setakat bulan ini ia telah membekalkan 1.8 bilion dos secara domestik dan ke luar negara.
Malaysia telah menyaksikan 58.7% dari 32 juta populasinya lengkap vaksinasi dan 68.8% daripada jumlah itu sekurang-kurangnya telah menerima satu dos suntikan.