- Iklan -
Berita

‘Kami akan kekal bersama’: Janji abang sulung 5 beradik selepas kehilangan ibu bapa akibat Covid-19

Lima beradik tabah menghadapi kehilangan ibu dan bapa akibat Covid-19 reda dengan ujian dan ketentuan Tuhan.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Muhammad Haidir Rodzi, 23, menunjukkan gambar kedua ibu bapanya yang meninggal dunia akibat Covid-19.
Muhammad Haidir Rodzi, 23, menunjukkan gambar kedua ibu bapanya yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Dalam sebuah rumah kecil terletak Port Dickson, Negeri Sembilan. Anak sulung berusia 23 tahun, Muhammad Haidir Rodzi mengenang hari-hari awal bapanya menunjukkan simptom dijangkiti Covid-19.

Pada tanggal 26 Mei lalu, Haidir berkata keluarganya menyangka bapanya Rodzi Tahar hanya mengalami demam biasa namun tiga hari selepas itu, Rodzi menjalani ujian Covid-19 di Hospital Port Dickson.

Keesokan harinya, dia disahkan positif dan terus dipindahkan ke Hospital Tampin.

Ketika masih cuba menyesuaikan diri dengan perubahan mendadak dalam keluarganya. Keluarga Haidir dikejutkan sekali lagi selepas doktor menghubungi mereka sekeluarga memaklumkan Rodzi telah meninggal dunia sehari selepas dimasukkan ke hospital.

Masih terkejut dan bersedih dengan berita tersebut, keluarga Haidir sekali lagi dikejutkan dengan ujian besar: ibu mereka, Nazita Idris, pula menunjukkan simptom demam dan batuk-batuk.

Nazita juga didapati positif Covid-19 pada 31 Mei dan akhirnya turut menjadi korban virus itu.

Nazita berusia 45 sementara Rodzi berusia 55 tahun ketika mereka meninggal dunia.

Kini, setelah beberapa bulan, Haidir dan adik beradiknya reda dan menerima takdir Tuhan yang lebih menyayangi ibu bapa mereka.

Rodzi Tahar, 55, dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19 pada 31 Mei, manakala isterinya Nazita Idris, 45, meninggal dunia selang enam hari kemudian.

Haidir berkata dia dan empat adiknya, Muhammad Hairie Rodzi, 20, Nurhairieka Rodzi, 18, Muhammad Haiqiel Rodzi, 13 dan Muhammad Khierzamani Rodzi yang berusia tujuh tahun juga turut menjalani ujian Covid-19.

Namun tidak seperti ibu bapa mereka, simptom yang ditunjukkan mereka adalah ringan dan hanya perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Kini mereka menetap di rumah peninggalan arwah bapa mereka di Bandar Sunggala, Port Dickson bersama nenek mereka, Faridah Md Shahar, 75.

Haidir berkata mereka sekeluarga mendapat bantuan termasuk dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), baitulmal dan sumbangan orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Sejak berita pemergian arwah ibu bapa tersebar, ramai datang ke rumah dan menghulurkan bantuan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ada yang beri bantuan dari segi kewangan, malah ada juga datang beri makanan terutama dalam kalangan jiran,” katanya yang kini turut bekerja bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Dalam pada itu, Haidir berkata, sebagai anak sulung, dia akan terus menunaikan pesanan terakhir ibunya supaya menjaga adik-adiknya.

“Walau apa-apa pun terjadi, kami akan kekal bersama. Buat masa ini saya bekerja sebagai operator mengisi gas memasak manakala Hairi bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Duit gaji yang diterima ditambah dengan bantuan kewangan baitulmal sebanyak RM250, JKM (RM300) dan pencen arwah abah RM565 sebulan, cukup untuk menampung perbelanjaan,” katanya.

Tambahnya, Nurhairieka pula bertanggungjawab memastikan dua lagi adiknya yang bersekolah iaitu Haiqiel dan Khierzamani mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Pada Isnin lalu, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun memberitahu Dewan Rakyat seramai seramai 154 murid yang didaftar di bawah kementerian pendidikan menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa akibat wabak Covid-19.

Selain daripada menawarkan bantuan kewangan dan perkhidmatan kaunseling, Rina berkata, kanak-kanak tersebut juga boleh ditempatkan di institusi JKM sekiranya mereka tidak mempunyai waris atau saudara mara yang boleh menjaga mereka.

Mengulas mengenai perkara ini, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Suriati Sidek berpandangan kanak-kanak yang tidak mempunyai waris atau penjaga dari kalangan ahli keluarga terdekat, sebaiknya diserahkan kepada keluarga angkat berbanding diletakkan di bawah jagaan pusat kebajikan.

Katanya, suasana kekeluargaan amat diperlukan kanak-kanak untuk perkembangan sosial dan emosi yang sihat.

“Apabila berada dalam sebuah institusi keluarga termasuk keluarga angkat, kanak-kanak itu akan berasa disayangi dan dikasihi sepertimana mereka disayangi ibu bapa kandung mereka.

“Justeru pihak JKM perlu mengenal pasti kesesuaian individu yang memohon untuk menjadi keluarga angkat dan melakukan pemantauan berkala demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak tersebut,” katanya kepada MalaysiaNow.