- Iklan -
Berita

Moratorium sewa PPR dilanjut sehingga hujung 2022

Langkah itu merupakan komitmen kerajaan untuk tidak meminggirkan penghuni PPR yang rata-rata terdiri daripada golongan B40.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Moratorium sewaan PPR pertama kali dilaksanakan pada tahun lepas dan dilanjutkan sehingga Mac tahun ini. Moratorium yang dijalankan kerajaan dapat membatnu golongan B40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Moratorium sewaan PPR pertama kali dilaksanakan pada tahun lepas dan dilanjutkan sehingga Mac tahun ini. Moratorium yang dijalankan kerajaan dapat membatnu golongan B40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Kerajaan hari ini mengumumkan moratorium bayaran sewa sedia ada kepada penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliaan kementerian perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) diteruskan sehingga akhir tahun 2022.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu merupakan komitmen kerajaan untuk tidak meminggirkan penghuni PPR yang rata-rata terdiri daripada golongan B40.

“Langkah ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 isi rumah atau 50,000 penghuni PPR melibatkan tanggungan kewangan kerajaan berjumlah RM18.84 juta,” katanya ketika melancarkan Rumah Ikram Keluarga Malaysia di Putrajaya hari ini yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican.

Moratorium sewaan PPR pertama kali dilaksanakan pada tahun lepas dan dilanjutkan sehingga Mac tahun ini.

Ismail turut mengumumkan penambahan 1,000 unit Rumah Ikram Keluarga Malaysia kepada 2,000 unit, dengan 10,000 isi rumah bakal menerima manfaat.

Katanya, rumah tersebut merupakan langkah penampan bagi menyediakan kediaman kepada rakyat Malaysia yang terkesan dari segi pendapatan atu kehilangan pekerjaan dan 1,000 unit pertama disediakan di PPR Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Kelantan dan Johor.

Dalam pada itu, Ismail mengumumkan bahawa semua penerima Rumah Ikram Keluarga Malaysia bakal menikmati pengecualian bayaran sewa selama enam bulan bermula dari tarikh menerima kunci yang  membabitkan tanggungan RM3 juta.

“Ini bagi membolehkan penerima khususnya ketua isi rumah menumpukan usaha untuk merancakkan ekonomi keluarga” katanya.