- Iklan -
Berita

Badan pemikir pertikai ‘sebuah lagi’ pelan tindakan pembaharuan kesihatan

Galen berkata beberapa bidang utama seakan diabaikan selain mempersoalkan keperluan lebih banyak kajian dan penubuhan institusi penyakit berjangkit.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Doktor kontrak memegang plakad ketika mengadakan himpunan secara aman di Hospital Kuala Lumpur. Galen Center hari ini mempersoalkan penggunaan dana untuk pembinaan institut yang sudah sedia ada sedangkan dana tersebut boleh digunakan untuk menyelesaikan isu doktor kontrak di sektor kesihatan awam.
Doktor kontrak memegang plakad ketika mengadakan himpunan secara aman di Hospital Kuala Lumpur. Galen Center hari ini mempersoalkan penggunaan dana untuk pembinaan institut yang sudah sedia ada sedangkan dana tersebut boleh digunakan untuk menyelesaikan isu doktor kontrak di sektor kesihatan awam.

Badan pemikir Galen Center for Health And Social Policy menggesa kerajaan mengkaji semula strategi bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), mengatakan beberapa bidang utama yang dinyatakan kekurangan kandungan utama atau tidak dinyatakan dalam pelan ekonomi kerajaan bagi lima tahun akan datang.

Menyifatkan komponen kesihatan RMK12 sebagai “kurang memuaskan”, ketua eksekutif Galen Azrul Mohd Khalib berkata kajian semula rancangan-rancangan tersebut akan dapat membantu pembaharuan dalam sistem kesihatan negara kepada satu sistem yang “kalis masa depan” dan dapat berdepan cabaran krisis penyakit tidak berjangkit (NCD), populasi yang semakin tua, dan menuntut penjagaan kesihatan yang lebih baik selain mempersiapkan Malaysia untuk menghadapi wabak lain yang mungkin melanda negara.

Beliau mengkritik pengumuman “sebuah lagi kajian” dalam bentuk pelan rangka tindakan untuk pembaharuan sistem penjagaan kesihatan, mengatakan beberapa kajian serupa telah dilaksanakan sejak dua dekad lalu yang “meneliti isu yang sama berhubung reformasi penjagaan kesihatan negara”.

Beliau turut menambah kajian terbaru telahpun dilaksanakan oleh Harvard TH Chan School of Public Health pada 2016 dan menyarankan supaya kerajaan meneliti penemuan dan kesimpulan daripada laporan tersebut.

“Janganlah kita terus buat perkara yang serupa,” katanya dalam satu kenyataan.

“Apa yang diperlukan ketika ini adalah keberanian dan keazaman politik untuk melaksanakan syor-syor daripada kajian tersebut.”

Azrul juga berkata hakikatnya, sektor penjagaan kesihatan telah menjadi pemacu kemajuan ekonomi dalam negara ini namun kurang diiktiraf, dan menambah “wujud begitu banyak potensi yang belum diterokai.”

Menurutnya, hal yang serupa juga berlaku dalam usaha menguruskan NCD seperti penyakit barah yang dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah penyakit berangkai dengan mengatakan perkara itu “kurang menjadi tumpuan untuk ditangani”.

“Sebelum krisis Covid-19 melanda, Malaysia sudahpun berdepan krisis NCD di seluruh negara,” katanya.

“Jika kita tidak mengakui dan memberi komitmen di peringkat nasional bahawa peningkatan pelaburan dalam rawatan dan penjagaan berkesan bagi mengatasi penyakit ini, rakyat akan terus ketinggalan. Lebih banyak pesakit akan mati akibat rawatan yang kurang optimum.”

Beliau juga berkata skim insurans nasional wajib akan menjadi “faktor perubahan” di samping turut berkata kurangnya komitmen untuk menyelesaikan masalah berkaitan dengan sumber manusia seperti doktor kontrak dan pengekalan pakar dalam sektor awam.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan penubuhan institut penyakit berjangkit yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang tidak dimasukkan dalam dokumen RMK12, mengatakan jutaaan ringgit dana tersebut sepatutnya disalurkan untuk menyokong Institut Kesihatan Negara yang berada di bawah kementerian kesihatan .

“Minat dan komitmen yang diperbaharui terhadap penyakit berjangkit sangat baik dan dialu-alukan, namun kita harus menggunakan wang tersebut dengan sebaik mungkin untuk memperkukuhkan keupayaan institusi kita yang sedia ada dengan merekrut ahli pakar dan penyelidik yang terbaik dalam bidang penyakit berjangkit,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia sudah mempunyai Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit (IDRC).

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.