- Iklan -
Berita

RMK12 tumpu pendidikan, pembangunan ekonomi Orang Asli

Akses kepada Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak akan ditambah baik, bagi memastikan anak-anak Orang Asli memperoleh kemahiran membaca, menulis dan mengira.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa kanak-kanak suku Temuan berbual di halaman rumah di Perkampungan Orang Asli Sungai Gabai, Hulu Langat.
Beberapa kanak-kanak suku Temuan berbual di halaman rumah di Perkampungan Orang Asli Sungai Gabai, Hulu Langat.

Memantapkan pendidikan dan pembangunan sosioekonomi Orang Asli antara usaha yang bakal dilaksana dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurut Dokumen RMK12 yang dikeluarkan unit perancang ekonomi (EPU) hari ini, akses kepada Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) akan ditambah baik, bagi memastikan anak-anak Orang Asli memperoleh kemahiran membaca, menulis dan mengira.

Kemasukan ke Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pendidikan tertiari akan dipertingkat, selain Program Jom Belajar akan diperluas lagi untuk mempertingkatkan kehadiran pelajar melalui kaedah pengajaran inovatif, bagi mengurangkan kadar buta huruf dalam kalangan mereka.

“Lepasan SPM dan graduan dari komuniti setempat akan digalakkan untuk membantu mengajar murid Orang Asli, sehubungan itu program khas membawa sekolah ke komuniti akan diperkenalkan dengan kerjasama antara kerajaan, universiti dan pertubuhan masyarakat sivil,” menurut dokumen itu.

Sementara itu, kerajaan akan merangka sebuah pelan pembangunan meliputi pendidikan dan latihan, peningkatan pendapatan, penyediaan infrastruktur asas, pembangunan tanah perkhidmatan penjagaan kesihatan dan bersepadu.

Ismail juga berkata kerajaan akan terus membantu isi rumah kaum Cina berpendapatan rendah khususnya di Kampung Baru dengan meningkatkan akses dan menambah baik Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru bagi mereka mengembangkan perniagaan dan terlibat dalam keusahawanan.

Katanya program infrastruktur asas dan ameniti sosial kumpulan itu juga akan diteruskan bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk di Kampung Baru Cina.

Beliau berkata bagi membantu sebahagian masyarakat India yang masih berpendapatan rendah, kesejahteraan mereka akan terus diberi keutamaan melalui Pelan Tindakan Masyarakat India.

“Kerajaan akan memberi sokongan kepada mereka dengan menyediakan program peningkatan kemahiran dan bantuan kewangan bersasar serta peluang keusahawanan,” katanya.

Menyentuh pembangunan anak muda, perdana menteri berkata golongan yang akan menjadi pemimpin Keluarga Malaysia pada masa hadapan itu akan dibimbing dan diberi sokongan untuk bersama-sama mencorak masa depan Malaysia.

“Akademi Pembangunan Belia Malaysia dan beberapa Kompleks Belia dan Sukan akan dinaik taraf, manakala pusat belia wilayah yang pertama di Malaysia akan dibina bagi merancakkan lagi aktiviti belia,” tambahnya.

Menurut Ismail, pelan kebangsaan pemerkasaan ekonomi belia sedang dirangka untuk memantapkan peranan anak muda dalam pembangunan negara termasuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam kalangan kumpulan itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.