- Iklan -
Berita

Keluarga bergelut dengan kemerosotan keadaan bapa penghidap demensia

Bapa Thalia menghidap demensia sejak 15 tahun lalu, namun keadaannya menjadi semakin teruk.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Bapa kepada Thalia kadangkala sukar ditangani ekoran penyakit demensia yang dihidapinya lebih sedekad lalu.
Bapa kepada Thalia kadangkala sukar ditangani ekoran penyakit demensia yang dihidapinya lebih sedekad lalu.

Thalia (bukan nama sebenar) baru menginjak usia 14 tahun ketika bapanya didiagnosis menghidap demensia.

Tahun-tahun setelah diagnosis bapanya dipenuhi dengan sesi terapi dan janji temu bagi menjalani program intervensi di pusat bandar.

Setiap dua minggu, Thalia membawa bapanya ke pusat rawatan dari rumah mereka di Batu Kawa, Kuching.

Kadangkala wanita muda itu juga turut menyertai sesi untuk mendorong bapanya menjalin persahabatan dengan pesakit-pesakit lain yang turut menderita demensia.

Ada kalanya, emosi bapa Thalia baik.

Namun ada juga hari keadaan bapanya tidak begitu baik.

Bagi mereka seisi keluarga, 15 tahun dijalani dengan menyaksikan kemerosotan keadaan bapanya secara perlahan-lahan.

Pada usia 67 tahun, sesi terapi banyak membantu – walaupun hilang ingatan, dia masih mampu makan sendiri dan bercakap dengan orang lain.

Dan dia masih dapat ketawa ketika mendengar jenaka yang baik.

“Ayah saya suka mengusik saya, dia panggil saya King Kong,” kata Thalia ketika ditemui MalaysiaNow.

Bagaimanapun, pandemik Covid-19 menyukarkan usaha mereka sekeluarga untuk menyekat kemerosotan keadaan bapanya daripada menjadi semakin buruk.

Kebanyakan masa, bapanya duduk di rumah sejak virus Covid-19 itu dikesan menular dalam negara ini awal tahun lalu, ekoran itu keluarganya mengambil langkah tambahan untuk memastikan seluruh keluarga selamat daripada jangkitan.

Kadang-kadang lelaki itu dapat menghadiri sesi terapi namun ia bergantung dengan keadaan Covid-19.

Namun, beberapa minggu kebelakangan ini keadaan bapa Thalia menjadi lebih teruk kerana fikirannya dilihat tidak menentu.

Pada suatu malam, dia menjadi sangat gelisah, mengatakan ada orang berbisik di belakangnya mengatakan bahawa seseorang ingin membunuhnya.

Tidak dapat mengawal keadaan itu, keluarga Thalia memanggil perkhidmatan kecemasan untuk membawanya ke hospital menggunakan ambulans.

Namun malangnya, permintaan mereka ditolak.

“Saya menelefon beberapa kali, minta ambulans datang,” kata Thalia.

“Tetapi petugas ambulans kata mereka tidak dapat datang kerana mereka tidak boleh.”

Bapa Thalia adalah antara 50 juta orang di seluruh dunia yang menderita demensia.

Menurut Alzheimer’s Disease International, 123,000 orang di Malaysia menghidap demensia pada 2015.

Jumlah itu dipercayai meningkat sekali ganda tahun lalu, dan dijangka setengah juta orang di negara ini bakal menghidap demensia pada tahun 2050.

Jumlah institusi dan pusat jagaan orang tua juga kini semakin  bertambah, namun pakar berkata ia masih belum cukup untuk memenuhi keperluan penghidap demensia.

Selain itu, pandemik yang melanda ketika ini juga turut menyebabkan tekanan hebat terhadap pesakit.

Pengarah Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM) CS Ghan berkata negara ini kekurangan profesional kesihatan yang terlatih dalam rawatan dan penjagaan pesakit demensia.

Sementara itu, jumlah warga emas yang memerlukan penjagaan juga terus meningkat.

Menurut Dr Ismail Drahman dari Persatuan Kesihatan Mental Sarawak cabaran lain yang dihadapi ketika ini adalah untuk merawat pesakit di kawasan pedalaman.

“Di Sarawak, misalnya, kawasan luar bandar merupakan cabaran besar,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Saya menyedari perkara ini kerana saya melawat tempat-tempat yang tidak memiliki sistem jalan raya asas yang baik di mana orang hanya bergantung dengan bot.”

Kebimbangan ketika ini ialah pesakit yang mengalami gangguan emosi mungkin terjun ke sungai jika mereka menggunakan bot membawa mereka untuk rawatan.

“Di tempat kami, biasanya mereka meminta polis bawa pesakit ke hospital,” tambah Ismail.

Ismail, yang merupakan ahli psiko-geriatrik, mengatakan terdapat banyak keadaan yang boleh menyebabkan perubahan tingkah laku warga tua.

“Kekeliruan mungkin berlaku disebabkan pengambilan garam yang tinggi sehingga menyebabkan kemerosotan kognitif (elektrolit), strok, atau kesan sampingan ubat,” katanya.

Sementara itu, Ghan menggesa kerajaan agar menyegerakan pelaksanaan Rancangan Demensia Kebangsaan Malaysia, yang ditunda akibat wabak melanda negara.

Dalam pada itu, keluarga Thalia terus bergelut untuk memberikan penjagaan yang sempurna kepada ayahnya.

Katanya, jika mereka berjaya membawanya ke hospital, bapanya akan didiagnosis dengan gejala demensia yang melibatkan tingkah laku dan psikologi.

Selama lima hari, bapanya akan berkelakuan agresif dan sering mengalami halusinasi.

“Dia berkata dia mencium bau yang tidak menyenangkan,” kata Thalia.

“Dia tidak dapat tidur malam. Selalunya dia akan menatap dinding.

“Dia seperti sedang bercakap dengan seseorang tetapi tak ada orang pun.”

Doktor memberitahu keluarganya halusinasi dan mimpi buruk yang dialami bapanya mungkin rutin baru penyakit tersebut.

Ketika kerja keras mereka nampaknya semakin sukar dengan keadaan sekarang, Thalia bertekad untuk melakukan semampu mungkin bagi membantu ayahnya.

“Hati saya sangat sedih,” katanya.

“Apa yang dapat kami lakukan hanyalah menawarkan pertolongan dan memantau keadaannya, kerana keadaannya sudah jadi lebih teruk.”