- Iklan -
Berita

Kerajaan sasar 100% liputan 4G, 5G di 9 juta premis menjelang 2025

Setakat Ogos lalu, 94% kawasan berpenduduk telah menerima liputan 4G di seluruh negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kebanyakan perniagaan kini bergantung dengan capaian internet jalur lebar bagi melancarkan pengurusan dan memudahkan capaian pelanggan.
Kebanyakan perniagaan kini bergantung dengan capaian internet jalur lebar bagi melancarkan pengurusan dan memudahkan capaian pelanggan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa hari ini berkata Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang dijalankan kerajaan akan menyasarkan 100% liputan 4G di kawasan berpenduduk di samping memperluas liputan 5G kepada sembilan juta premis menjelang 2025.

Menurutnya, perluasan tersebut adalah susulan kejayaan Jendela menyediakan liputan 4G sebanyak 94% setakat Ogos 2021 sementara rangaian 5G akan mula dilancarkan pada hujung tahun ini.

“Kesemua inisiatif pendigitalan ini menyokong kepada sasaran 25.5 peratus sumbangan ekonomi digital kepada KDNK pada tahun 2025.

“Pada masa yang sama, bagi memastikan peluang ekonomi digital rakyat diperluaskan hingga ke peringkat akar umbi, pembangunan ekonomi digital akan dibangunkan bersama di pelbagai titik sentuh seperti pusat internet komuniti yang akan ditransformasi sebagai pusat digital Keluarga Malaysia seluruh negara,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Annuar berkata kementeriannya komited untuk memberikan tumpuan bagi mempertingkat perhubungan digital dan mempergiat ekonomi digital dan memberi nilai tambah dan manfaat kepada Keluarga Malaysia di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12)

“Akses kepada internet sebagai hak asasi manusia akan menjadi pemacu utama bagi kementerian komunikasi dan multimedia Malaysia (KKMM) untuk memastikan tiada komuniti yang ketinggalan dalam usaha KKMM menjayakan RMK12.”

Katanya, usaha tersebut akan dijalankan melalui strategi mewujudkan persekitaran yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan penediaan infrastruktur dan perkhidmatan digital sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pusat digital Asean.

Dalam pada itu, katanya, usaha tersebut akan turut melibatkan pelbagai pihak kerana inisiatif pendigitalan tersebut merentas KKMM dan agensi di bawahnya.

“Saya telah juga berjumpa dengan pelbagai pemegang taruh di dalam industri telekomunikasi termasuk daripada pihak swasta untuk memastikan inisiatif pendigitalan di bawah RMK12 menggunakan satu pendekatan keseluruhan negara (whole-of-nation approach).”

Jendela adalah inisiatif yang diperkenalkan kerajaan tahun lalu bertujuan untuk memperkukuh infrastruktur kesalinghubungan di Malaysia.

Dilaksanakan antara 2021 hingga 2025, inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat.

Antara perancangan Jendela termasuk memperluaskan jalur lebar mudah alih 4G kepada 96.9% kawasan berpenduduk.

Pada masa yang sama, ia juga akan meningkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih dari 25Mbps kepada 35Mbps.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.