- Iklan -
Berita

Lebih 60 terkorban dalam pertempuran ketika pemberontak Huthi hampiri bandar Marib

Pertempuran itu berlaku ketika pemberontak semakin menghampiri pertahanan terakhir kerajaan di bahagian utara Yaman.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Akibat perang saudara di Yaman, jutaan penduduk negara itu terpaksa menjadi pelarian dan berdepan krisis kebuluran. Gambar: AFP
Akibat perang saudara di Yaman, jutaan penduduk negara itu terpaksa menjadi pelarian dan berdepan krisis kebuluran. Gambar: AFP

Seramai 67 pemberontak Yaman dan tentera prokerajaan terbunuh dalam pertempuran di bandar Marib, kata sumber ketenteraan pada Isnin.

Pertempuran itu berlaku ketika pemberontak semakin menghampiri pertahanan terakhir kerajaan di bahagian utara negara itu.

Serangan udara dari gabungan pimpinan Arab Saudi menyasarkan pemberontak Huthi disokong Iran yang kini meningkatkan usaha mereka untuk merebut bandar Marib yang terkenal kaya dengan sumber minyak.

Ratusan pemberontak terkorban dalam beberapa pertempuran bulan ini dalam usaha merebut Marib yang menempatkan ratusan orang yang melarikan diri dari beberapa bandar lain selain lebih dua juta pelarian lain yang terpisah di beberapa tempat di wilayah tersebut.

“58 pemberontak Huthi dan sembilan penyokong setia kerajaan terbunuh dalam pertempuran dan serangan udara di wilayah Marib dan Shabwa dalam tempoh 24 jam lalu,” menurut sumber tentera kepada AFP.

Angka itu disahkan oleh sumber perubatan, sementara pemberontak jarang mengumumkan kematian mereka.

Menurut sumber ketenteraan, gabungan pimpinan Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yaman melancarkan lebih 20 serangan udara dalam tempoh 24 jam lalu menyasarkan kenderaan pemberontak Huthi.

Sementara itu, di Al-Mualla, selatan bandar Marib, pasukan prokerajaan turut melepaskan tembakan ke arah kedudukan Huthi.

Dalam perkembangan lain, penasihat keselamatan nasional Presiden Joe Biden, Jake Sullivan, akan mengunjungi Arab Saudi untuk perbincangan peringkat tertinggi, diiringi pegawai khas Amerika Syarikat (AS) di Yaman, Tim Lenderking, namun Rumah Putih tidak menyatakan butiran pertemuan tersebut.

Biden menyatakan AS akan mengurangkan sokongan terhadap serangan yang dipimpin Arab Saudi di Yaman, selain turut menyatakan kekecewaan kerana pihak Huthi tidak menunjukkan minat terhadap gencatan senjata.

Konflik Yaman meletus pada 2014 ketika Huthi merebut ibu negara Sanaa.

Ekoran usaha itu, ia telah mendorong campur tangan Arab Saudi dan bulan ini menandakan tujuh tahun sejak pemberontak menguasai Sanaa.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.