Daripada keseluruhan 186 projek penambahbaikan sekolah daif di Sarawak, 29 projek naik taraf disiapkan dan bakal memberikan manfaat kepada lebih 4,000 peajar sekolah di negeri itu, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.
Dalam jawapan bertulis bagi soalan Ahli Parlimen Stampin Chong Chien Jen, Radzi berkata baki 157 projek yang bakal memberi manfaat kepada lebih 32,000 orang pelajar masih dalam peringkat pembinaan dan pra bina.
“Bagi tahun 2019 sebanyak 75 projek diluluskan untuk pelaksanaan dengan kos berjumlah RM827.1 juta.
“Sehingga 22 September 2021, sebanyak 29 projek telah siap dibina, 41 projek sedang dalam pembinaan manakala lima projek lagi dalam fasa pra bina dengan perbelanjaan sebanyak RM168.45 juta,” katanya.
Menurut Radzi, tahun lalu, sebanyak 52 projek diluluskan dengan kos berjumlah RM350 juta.
Katanya, setakat 22 September tahun ini, enam projek sedang dalam pembinaan manakala 46 projek dalam peringkat pra bina dengan perbelanjaan sebanyak RM122,483.00.
“Manakala bagi tahun 2021, KPM telah meluluskan sebanyak 59 projek dengan kos berjumlah RM402.71 juta. Kesemua projek masih di peringkat pra bina dan tiada perbelanjaan dibuat setakat ini.”
Sekolah daif di Sarawak menjadi perbahasan hangat negara selepas beberapa laporan media mengatakan lebih 1,000 sekolah didapati berada dalam keadaan daif di negeri tersebut.
Selain memerlukan naik taraf, lebih 400 sekolah di negeri itu dikatakan berada pada tahap yang sangat uzur dan perlu dibina semula.
Tahun lalu, kementerian kerja raya (KKR) berkata pemilihan projek sekolah daif ini adalah berdasarkan bangunan sekolah di mana keadaan fizikalnya tidak sempurna, tidak berfungsi, dan tidak selamat digunakan.
KKR berkata dalam pemilihan projek sekolah daif yang dijalankan kerajaan, pihak kementerian pendidikan (KPM) telah menggunakan tanda aras berdasarkan sistem skala iaitu skala satu hingga tujuh di mana skala tujuh merupakan keadaan bangunan yang paling tidak selamat (tidak sempurna, tidak berfungsi dan tidak selamat digunakan yang boleh mendatangkan ancaman/bahaya berbentuk kecederaan/kecelakaan atau kehilangan nyawa manusia).
Selain tanda aras tersebut, sekolah-sekolah yang dipilih dalam projek naik taraf juga perlu mendapat pengesahan tidak selamat daripada JKR dan Jabatan Pendidikan Negeri dan Daerah.