Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin hari ini berkata siasatan dalaman Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati tidak wujud kebocoran data susulan dakwaan data peribadi empat juta warga Malaysia telah dijual secara dalam talian.
Dalam satu kenyataannya, beliau berkata JPN turut mengesahkan keocaran data tidak pernah berlaku sebelum ini.
“KDN sentiasa memastkan keselamatan dan integriti data rakyat Malaysia yang berada di bawah jagaan JPN adalah terjamin dan selamat,” katanya.
Seorang pakar IT mendakwa dalam sebuah ciapan Twitter bahawa data peribadi empat jua warga Malaysia yang disimpan di JPN telah dijual secara dalam talian dengan harga sekitar 35,000.
Adnan Shukor turut berkongsi tangkap layar yang menunjukkan seorang penjual menawarkan data dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurut tangkap layar, sejumlah 32GB data dalam 19 fail mengandungi maklumat mereka yang lahir antara 1979 dan 1998, dengan butiran seperti alamat, nombor telefon dan gambar.
Ia juga turut menawarkan butiran kaum, agama dan nombor kad pengenalan.
Semalam, LHDN menafikan sebarang kebocoran data, mengatakan data yang disimpan agensi cukai tersebut adalah dilindungi dengan teknologi keselamatan yang diiktiraf.
Hamzah turut berkata pihaknya bekerjasama dengan JPN, Majlis Keselamatan Negara, dan Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Nasional (NC4) untuk menyiasat perkara tersebut.
Beliau turut berkata KDN juga akan memastikan semua agensi yang menggunakan myIDENTITY daripada JPN segera mengambil langkah keselamatan yang tinggi dan sentiasa mematuhi polisi penggunaan myIDENTITY bagi mengelakkan kebocoran data daripada dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.