- Iklan -
Berita

Kerajaan perlu mansuhkan, bukan perkukuh undang-undang zalim

Lawyers for Liberty mengecam usaha kerajaan untuk mengkaji semula dan meminda undang-undang seperti Poca dan Sosma demi menambah baik keselamatan negara.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Penunjuk perasaan berhimpun bagi menggesa kerajaan memansuhkan undang-undang zalim Akta Hasutan 1948 di bangunan Parlimen pada 2014. Gambar: AP
Penunjuk perasaan berhimpun bagi menggesa kerajaan memansuhkan undang-undang zalim Akta Hasutan 1948 di bangunan Parlimen pada 2014. Gambar: AP

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menyelar usaha kerajaan untuk mengkaji semula dan meminda undang-undang keselamatan yang terkandung dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) demi menambah baik keselamatan negara, mengatakan undang-undang tersebut sepatutnya dimansuhkan.

Dalam sebuah kenyataan, Koordinator LFL Zaid Malek berkata, undang-undang tersebut termasuk Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca), dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota), Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA).

“Undang-undang ini dibuktikan secara konsisten bersifat zalim dan merupakan satu penghinaan terhadap sistem kehakiman kita. Ia membenarkan penahanan tanpa bicara, mengabaikan sistem kehakiman dan melulu selain menghadkan asas-asas utama kebebasan yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Undang-undang yang kandungannya tidak baik, tidak boleh ditambah baik, bahkan perlu dimansuhkan. Undang-undang ini bersifat prejudis terhadap keselamatan awam kerana ia membenarkan penahanan tidak adil dan pendakwaan terhadap orang ramai,” katanya.

Beliau menambah, usaha yang sepatutnya dilakukan adalah membaiki tatakelola penguatkuasaan oleh pihak berkuasa dan mengangkat hak-hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Jika matlamat RMK12 benar-benar mahu membina sebuah masyarakat yang lebih bertoleransi dan untuk mengembalikan keyakinan yang tinggi terhadap institusi-institusi dalam negara, maka kerajaan mesti hindari undang-undang yang merendahkan jaminan perlindungan asas-asas kebebasan,” katanya.