Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) pada Rabu mengeluarkan nasihat kesihatan supaya kerajaan meningkatkan vaksinasi Covid-19 dalam kalangan wanita hamil, baru hamil atau berusaha untuk hamil bagi mencegah penyakit serius dan kematian.
CDC berkata data yang diperolehinya menunjukkan hanya 31% wanita hamil telah diberikan vaksin Covid-19.
Katanya, walaupun ketika ini semakin banyak wanita hamil telah divaksinasi, namun pengambilan vaksin bagi wanita hamil masih rendah berbanding populasi negara itu.
Pada Ogos lalu, agensi kesihatan itu turut berkata wanita hamil harus diberi vaksin Covid-19 berikutan analisis baru yang menunjukkan tidak ada sebarang peningkatan risiko keguguran setelah vaksinasi dijalankan terhadap golongan tersebut.
CDC berkata selain risiko penyakit tenat dan kematian bagi wanita hamil, terdapat peningkatan risiko kelahiran pra matang bagi individu yang dijangkiti Covid-19.
Dalam nasihat terbarunya, CDC memetik data yang menunjukkan kira-kira 97% wanita hamil yang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan Covid-19 adalah mereka yang belum divaksinasi.