- Iklan -
Berita

Mosti guna RM314 juta peruntukan PICK setakat 30 Ogos, kata menteri

Perbelanjaan tersebut meliputi kos dan pengoperasian PPV iaitu perbelanjaan bagi sewaan dan utiliti, pembersihan dan sanitasi, perkakasan dan peralatan pakai habis dan kebajikan petugas.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba. Gambar: Bernama
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba. Gambar: Bernama

Sejumlah RM314 juta daripada RM1 bilion peruntukan bagi kementerian sains, teknologi dan invonasi (Mosti) untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dibelanjakan setakat 30 Ogos lepas, kata Dr Adham Baba.

Menteri sains, teknologi dan inovasi itu berkata perbelanjaan itu meliputi kos dan pengoperasian pusat pemberian vaksin (PPV) iaitu perbelanjaan bagi sewaan dan utiliti, pembersihan dan sanitasi, perkakasan dan peralatan pakai habis dan kebajikan petugas di PPV.

Beliau berkata perbelanjaan itu turut digunakan bagi memantapkan rangkaian integrasi data dan sistem untuk proses pemberian vaksin melalui PICK serta usaha meningkatkan jumlah pendaftaran rakyat untuk menerima vaksin di setiap kawasan Parlimen.

“Mosti, kementerian kesihatan dan agensi berkaitan juga sedang menambah baik sistem pengesanan kontak merangkumi sumber data untuk kenal pasti dan menganalisis interaksi serta analisis untuk menentukan butiran risiko penyebaran wabak.

“Selain itu, tracer hub dibangunkan untuk memudahkan pengesanan kontak dan aktiviti sokongan mengukuhkan pengesanan kontak di samping sistem pengurusan vaksin (VMS) bagi penyimpanan rekod data serta aplikasi Vaccine Certificate Verifier bagi memastikan sijil digital vaksin adalah tulen melalui kod QR,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) mengenai kos PICK dan strategi seterusnya bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menjawab soalan tambahan Dr Wan Azizah berhubung peruntukan RM60 juta bagi penyelidikan dan pembangunan pembuatan vaksin negara, Dr Adham berkata jumlah itu merangkumi pembangunan semua jenis vaksin untuk manusia dan haiwan.

“Kerajaan juga akan bangunkan satu roadmap atau pelan strategik pembangunan vaksin negara yang akan diumumkan 1 November ini oleh perdana menteri,” katanya.

Menjawab soalan berasingan yang dibangkitkan Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai jangkaan imuniti kelompok sebanyak 80%, Dr Adham berkata sasaran hampir semua populasi dewasa lengkap vaksinasi sebelum penghujung Oktober ini boleh dicapai.

Beliau berkata Mosti, menerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), optimis usaha yang sedang dilaksanakan dalam PICK berjalan mengikut landasan dan perancangan yang ditetapkan memandangkan populasi dewasa divaksinasi melebihi 85% setakat semalam.

“Sebagai langkah mempercepatkan vaksinasi, CITF melalui operasi lonjakan kapasiti telah berjaya memvaksinasi hampir semua penduduk dewasa di Lembah Klang.

“Sasaran berfokus kini, adalah memastikan semua negeri mencapai sekurang-kurangnya 60% populasi dewasa lengkap divaksinasi dan hari ini, kita akan capai sasaran itu di Sabah,” katanya menambah CITF terus memberi tumpuan pengagihan bekalan vaksin ke negeri yang mempunyai kes Covid-19 yang tinggi.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.