Muhyiddin Yassin berkata keputusan membaik pulih kompleks Seri Perdana yang dibuat ketika pentadbirannya adalah untuk memulihara selain menerima laporan mengatakan Najib Razak mengeluarkan perabot daripada rumah rasmi perdana menteri itu.
Muhyiddin berkata, mengikut laporan Jabatan Perdana Menteri (JPM) jika kediaman perdana menteri itu tidak dibaik pulih dengan segera, bangunan tersebut akan mengalami kerosakan yang lebih teruk pada masa hadapan dan kos membaik pulih bangunan akan meningkat.
“Ketika saya mula menjawat jawatan perdana menteri pada bulan Mac 2020, saya menerima laporan daripada JPM berhubung kerosakan fizikal Seri Perdana yang merupakan bangunan rasmi JPM.
“Berdasarkan laporan yang saya terima, pihak JPM juga mengesyorkan agar perolehan perabot dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana yang didakwa milik peribadi mantan perdana menteri keenam dipindah keluar,” katanya dalam sebuah kenyataan di Facebook hari ini.
Najib Razak merupakan perdana menteri keenam dari 2009 sehingga Barisan Nasional (BN) yang dipimpinnya tewas pada Pilihan Raya Umum 2008.
Menurut Muhyiddin, antara kerosakan yang dilaporkan JPM termasuk kebocoran, sistem pencahayaan yang telah lama serta keadaan fizikal lantai dan bumbung yang telah rosak atau usang.
Katanya, menurut JPM, kebocoran bumbung Seri Perdana dan sistem perpaipan menyebabkan kerosakan perabot dalaman, lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan.
Selain itu, pendawaian elektrik, pencahayaan dan peralatan mekanikal seperti penghawa dingin juga turut dilaporkan perlu dibaik pulih kerana sudah terlalu usang.
“Menurut pandangan pakar, sistem pendawaian bangunan Seri Perdana yang berusia lebih 20 tahun boleh mendatangkan risiko kebakaran jika tidak dibaik pulih segera.”
Muhyiddin turut berkata proses baik pulih yang dilaksanakan adalah mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan dipantau rapat oleh sebuah pasukan petugas dianggotai pegawai Jabatan Kerja Raya dan JPM.
Semalam, Najib dalam hantaran Facebook berkata projek naik taraf Seri Perdana diluluskan ketika pentadbiran Muhyiddin dan nilai asal keseluruhan projek adalah sebanyak RM38.5 juta yanng dijangka siap pada 7 Disember.
Beliau mempersoalkan naik taraf tersebut dan berkata wang sebanyak itu tidak sepatutnya dibelanjakan ketika negara berdepan impak pandemik.
“Apapun, wang sebanyak RM38.5 juta tidak patut dibelanjakan untuk tujuan ini pada zaman pandemik sebab ianya tidak sensitif kepada Rakyat yang sedang merayu untuk lebih banyak bantuan disalurkan akibat PKP bersambung PKP.
“Lebih-lebih lagi sebab ianya dibelanjakan pada ketika PM8 sendiri kata kerajaan dah tak ada banyak wang lagi setelah kerajaan PN dahulu berbelanja RM600 bilion,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata sejak memegang jawatan perdana menteri tahun lalu, beliau tidak pernah mendiami rumah rasmi tersebut.
Beliau turut berkata penjelasan mengenai projek naik taraf tersebut boleh diberikan jabatan-jabatan yang terlibat dalam proses naik taraf berkenaan.
“Selaras dengan prinsip ketelusan dan integriti yang diamalkan oleh kerajaan, jabatan yang berkenaan boleh tampil untuk memberikan penjelasan kepada orang ramai berkenaan perkara ini.
“Untuk rekod, saya tidak pernah menduduki Seri Perdana sepanjang saya berkhidmat sebagai perdana menteri,” katanya.
Terletak di Precint 10 Putrajaya, kompleks Seri Perdana dibina ketika pentadbiran kerajaan diketuai Dr Mahathir Mohamad pada 1997.
Kompleks itu dibina bagi menggantikan kediaman rasmi perdana menteri sebelumnya yang terletak di Kuala Lumpur.