- Iklan -
Berita

Projek loji rawatan air Langat diurus penuh oleh anak syarikat MOF, kata exco Selangor

Menurut Izham Hashim, kerajaan Selangor tidak dilibatkan secara langsung dan menyeluruh dalam pelaksanaan projek tersebut.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Exco Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Izham Hashim. Gambar: Bernama
Exco Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Izham Hashim. Gambar: Bernama

Kerajaan negeri Selangor memaklumkan pengurusan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL 2) dilaksanakan sepenuhnya oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), sebuah anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh kementerian kewangan.

Exco Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Izham Hashim berkata kerajaan Selangor tidak dilibatkan secara langsung dan menyeluruh dalam pelaksanaan projek tersebut.

Jelasnya, kerajaan negeri hanya terlibat dalam perkara berkaitan dengan tanah tapak projek dan permit yang dikeluarkan oleh agensi teknikal negeri.

Dalam pada itu, Izham berkata dalam usaha untuk menampung kekurangan bekalan air akibat dari kelewatan penyiapan LRAL 2 itu, kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa inisiatif dengan peruntukan kewangan negeri bagi pembinaan Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang.

“Kerajaan negeri juga telah mendapatkan pinjaman dari kementerian kewangan bagi melaksanakan Projek Mitigasi 2 yang melibatkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP 3).

“Dengan adanya projek yang dilaksanakan oleh kerajaan Selangor, bekalan air kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan mengulas berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2 tentang pelaksanaan projek LRAL 2 yang belum mencapai objektif yang disasarkan.

Izham berkata Selangor juga telah membuat beberapa kajian berkenaan keperluan air dan hasil dari kajian tersebut mendapati masih ada sumber air di dalam negeri itu yang boleh dibangunkan menjadi air terawat untuk dibekalkan kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Pada masa sama, kerajaan negeri bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan membangunkan Projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau yang dijangka dapat mengeluarkan sebanyak 1400 juta liter sehari (JLH) bagi kegunaan pengguna di tiga negeri itu sebagai langkah memastikan bekalan air kepada pengguna adalah mencukupi,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.