- Iklan -
Berita

Iran kecam lawatan diplomat Israel ke Bahrain

Iran menyifatkan kedatangan diplomat Israel ke Bahrain memberikan kesan buruk kepada pemimpin negara itu.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Luar Israel Yair Lapid bertemu Raja Bahrain Hamad bin Isa Al Khalifa dan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Salman bin Hamad Al Khalifa pada Khamis. Gambar: AFP
Menteri Luar Israel Yair Lapid bertemu Raja Bahrain Hamad bin Isa Al Khalifa dan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Salman bin Hamad Al Khalifa pada Khamis. Gambar: AFP

Iran pada Jumaat berkata lawatan menteri luar Israel ke Bahrain minggu ini menandakan terjalinnya hubungan yang meninggalkan kesan buruk kepada pemimpin negara Teluk itu, menyifatkannya “sebagai noda yang tak akan dapat dipadam”.

Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu merupakan negara teluk yang telah menjalankan normalisasi hubungan dengan Israel tahun lalu dalam sebuah rundingan diusahakan Amerika Syarikat (AS) dikenali sebagai Perjanjian Abraham yang dimeterai berdasarkan kepentingan komersial dan kebimbangan dengan perkembangan di Iran.

Menteri Luar Israel Yair Lapid bertemu Raja Bahrain Hamad bin Isa Al Khalifa dan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Salman bin Hamad Al Khalifa pada Khamis.

Bagi memberikan isyarat ia menentang Iran, Lapid telah mengadakan lawatan ke pangkalan tentera laut AS dari Armada Ke-5 di Bahrain yang beberapa kali bertembung dengan kapal Iran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kami menyelar segala perancangan yang mendorong kehadiran Israel yang merosakkan rantau ini,” kata jurucakap kementerian luar Iran Saeed Khatibzadeh dalam satu kenyataan dikeluarkan agensi berita rasmi Irna.

“Satu hal yang amat dikesali melihat kerajaan Bahrain mengabaikan jenayah rejim Zionis terhadap rakyat Palestin terus bertahan dengan penindasan mereka,” kata Khatibzadeh merujuk kepada Israel.

“Noda ini tidak akan terhapus dari sejarah reputasi kerajaan Bahrain. Rakyat di wilayah itu akan terus menentang proses normalisasi hubungan dengan rejim Zionis. ”

Bahrain, yang memiliki pentadbiran monarki Sunni mendakwa Iran mencetuskan rusuhan di Bahrain, namun tuduhan tersebut dinafikan Tehran yang merupakan negara didominasi populasi Syiah.

Sebelum ini, Bahrain beberapa kali menyekat pemberontakan dipimpin sebahagian besar penduduk Syiah pada 2011, menyaksikan beberapa kali tunjuk perasaan yang membantah Perjanjian Abraham ditandatangani negara itu.

Warga Palestin juga turut mengecam perjanjian antara Bahrain dan Israel, mengatakan negara itu meninggalkan pendirian bersama negara-negara Arab bahawa ia hanya akan berdamai dengan Israel jika Israel menyerahkan wilayah yang dicerobohinya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.