- Iklan -
Berita

Minat ke Langkawi meningkat 13 kali ganda ketika sektor pelancongan mula dibuka

Carian penginapan di Port Dickson pula meningkat 360% manakala Melaka 270%

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Pelancong yang mahu ke Langkawi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh pada 17 September lalu. Gambar: Bernama
Pelancong yang mahu ke Langkawi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh pada 17 September lalu. Gambar: Bernama

Carian penginapan Airbnb di Langkawi meningkat 13 kali ganda mengikut perbandingan bulanan susulan pelancaran gelembung pelancongan tempatan pada pertengahan bulan lalu, menunjukkan pertumbuhan minat untuk melancong selepas beberapa kelonggaran sekatan Covid-19.

Dalam tempoh masa sama, Pengurus Besar Airbnb Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Amanpreet Bajaj, berkata carian penginapan Airbnb di Port Dickson pula melonjak 360% manakala carian penginapan di Melaka meningkat 270%.

“Airbnb sudah menjangkakan lonjakan minat untuk penginapan domestik apabila rakyat Malaysia teruja untuk melancong menggunakan platform ini susulan pelaksanaan gelembung pelancongan dan kelonggaran sekatan pergerakan.

“Lima destinasi carian yang paling popular ialah Subang Jaya, Kuala Lumpur, Langkawi, Johor Bahru dan Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dengan tamatnya sekatan pergerakan yang dilaksanakan dalam tempoh masa lama juga mendorong orang ramai melakukan perancangan untuk melancong bersama keluarga mereka.

“Ramai membuat perancangan menginap untuk tempoh seminggu atau lebih selepas berada di rumah untuk tempoh masa yang lama.

“Carian penginapan Airbnb yang lebih besar juga menyaksikan lonjakan, dengan carian tempahan vila meningkat hampir 2.5 kali ganda pada minggu 13 September berbanding enam bulan sebelum itu,” jelasnya.

Sementara itu, Amanpreet berkata, Airbnb melancarkan kempen #RaikanMalaysia yang disasar untuk mendorong pemulihan sektor pelancongan pada separuh kedua 2021, selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12.

“Dengan Malaysia kini di landasan pemulihan, kami sudah menyaksikan peningkatan aktiviti pelancongan domestik.

“Data kami menunjukkan sentimen yang lebih positif susulan kelonggaran sekatan pergerakan dan kami teruja untuk memperkenalkan inisiatif baharu dalam usaha menggalakkan lagi kempen #RaikanMalaysia,” tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.