Ketika banyak aspek kehidupan ketika ini mula beralih dan dijalankan secara dalam talian ekoran kemajuan teknologi selain turut berpunca akibat Covid-19 yang melanda dunia, seorang pakar mengatakan ibu bapa perlu berusaha mengikuti trend digital dan istilah dalam talian bagi melindungi anak-anak mereka.
Geshina Ayu Mat Saat, ahli kriminologi dan psikologi dari Universiti Sains Malaysia berkata bahasa yang digunakan dalam dunia digital berubah dengan cepat dan kanak-kanak mungkin tidak menyedari mereka menjadi sasaran pemangsa sekiranya ibu bapa tidak memantau.
Untuk melakukan ini, ibu bapa perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi melindungi dan mendidik anak-anak berhubung bahaya yang wujud dalam dunia maya, katanya.
“Hampir semua aplikasi dan platform media sosial yang digunakan kanak-kanak mempunyai kandungan dan interaksi yang tidak sesuai di mana pemangsa menggunakan akronim dan slanga untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak,” katanya.
“Pemangsa sengaja menggunakan aplikasi seperti itu untuk berhubung dengan anak-anak atau jadikan ia tersedia untuk anak-anak mudah menemuinya.”
Langkah-langkah pencegahan virus yang menjadi punca kebanyakan aktiviti bersemuka tidak lagi dijalankan selama hampir dua tahun, kanak-kanak menghabiskan lebih banyak masa dalam talian, termasuk melakukan aktiviti asasi seperti persekolahan.
Dan semakin banyak masa dihabiskan dalam talian, semakin besar peluang pemangsa untuk mengambil kesempatan terhadap mereka.
Internet yang tidak mempunyai batasan dan juga bermaksud mereka boleh terjerat dengan perangkap pemangsa tidak mengira ruang atau waktu tertentu.
Kanak-kanak juga berdepan risiko lebih besar untuk terdedah kepada unsur-unsur negatif selain boleh dimanipulasi atau menjadi mangsa amang seksual oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Lebih banyak masa dihabiskan dalam talian turut menimbulkan peningkatan pembelajaran norma dan nilai sosial yang mungkin bertentangan dengan identiti etnik, budaya atau agama keluarga kerana interaksi tanpa sempadan,” kata Geshina.
Walaupun sukar menjejaki setiap aktiviti anak-anak dalam talian, terutama bagi ibu bapa yang merasa sukar mengikutinya secara teknikal, beliau berkata usaha perlu dilakukan bagi mengatasinya.
Geshina mencadangkan supaya ibu bapa menetapkan akses terkawal berhubung peranti digital supaya anak-anak tidak terlepas berinteraksi bersama keluarga selain bagi menyekat kecenderungan anti-keluarga.
“Bagaimanapun, yang paling penting ibu bapa harus menjadi teladan bagi melaksanakan usaha ini dan ibu bapa tidak seharusnya mendakwa mereka ada keistimewaan hal akses internet, kerana anak belajar bukan hanya daripada kata-kata yang diucapkan bahkan daripada tingkah laku yang mereka perhatikan,” katanya.
Awal tahun ini, MalaysiaNow melaporkan peralihan daripada kelas bersemuka kepada pembelajaran dalam talian membawa risiko lebih besar untuk mereka terdedah kepada pornografi dan bahan lucah.
Tiga tahun lalu, bahagian D11 di Bukit Aman, yang menangani jenayah seksual berkaitan wanita dan kanak-kanak mendedahkan sebanyak 17,333 alamat IP yang berkait dengan pornografi kanak-kanak berasal dari Malaysia, menjadikan negara ini sebagai pengguna pornografi kanak-kanak dalam talian paling tinggi di rantau ini.
Mangsa biasanya berusia antara 13 dan 16 tahun di mana pemangsa menggunakan taktik amang seksual bagi menormalkan hubungan seksual.
Sementara itu, pada Mac polis turut mendedahkan 993 kes serangan seksual secara fizikal melibatkan kanak-kanak di bawah usia 18 tahun dilaporkan pada 2020.
Jumlah tersebut meningkat dari 732 pada 2019 selain 591 kes dilaporkan pada 2018.
Pembantu Pengarah D11 Siti Kamsiah Hassan berkata kebanyakan mangsa serangan seksual secara fizikal adalah kes rogol dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur.
Beliau berkata 20% kes berlaku tanpa persetujuan, sebuah angka peratusan trend yang disumbang akibat kanak-kanak tidak sedar risiko di media sosial.
“Kes-kes ini berlaku kerana mereka terlalu banyak terdedah dengan media sosial dan akses internet tanpa had,” katanya.
Seorang pakar perkembangan kanak-kanak dan keluarga, Racheal Kwacz berkata ibu bapa harus rapat dan sering bersama anak-anak mereka bagi membina komunikasi yang terbuka dan jujur.
“Sekiranya kita buat carian dalam internet, kita boleh jumpa banyak artikel dan sumber yang mudah didapati berkaitan cara untuk menjaga keselamatan anak dan alat yang boleh digunakan ibu bapa bagi membantu anak-anak mereka, namun itu satu aspek kecil mengenai masalah ini,” katanya.
“Kita gagal lihat gambaran yang lebih besar di mana, jika kita dapat luangkan masa untuk berkomunikasi dengan anak-anak, kita mungkin dapat kenal pasti tanda-tanda awal.”
Rachel juga turut menegaskan keperluan untuk wujudkan batasan tegas yang boleh meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis dengan cara selamat dan sesuai dengan usia supaya walaupun alat-alat baru muncul, anak-anak sudah bersedia berdepan dengannya.
“Secara umunya, kita hanya ingin hilangkan rasa malu dan sifat berahsia antara ibu bapa dan anak dengan cara berkomunikasi dengan mereka,” katanya.