- Iklan -
Berita

Gadis buktikan jantina bukan penghalang bekerja di bidang didominasi lelaki

Syazwani buktikan golongan hawa juga mempunyai kekuatan untuk melakukan kerja berat

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Nor Syazwani Norazman, 20 menolak buah sawit yang dikutip ke dalam kereta sorong untuk dikumpulkan disatu tempat sebelum dipungut lori di Felda Pasoh Empat, Jelebu.
Nor Syazwani Norazman, 20 menolak buah sawit yang dikutip ke dalam kereta sorong untuk dikumpulkan disatu tempat sebelum dipungut lori di Felda Pasoh Empat, Jelebu.

Seorang wanita muda di Jelebu, Negeri Sembilan bekerja di sebuah ladang sawit milik datuknya di Felda Pasoh Empat, membuktikan wanita juga boleh melakukan pekerjaan yang sering dikaitkan sebagai satu pekerjaan sukar dan hanya sesuai dilakukan golongan lelaki kerana memerlukan kekuatan fizikal.

Nor Syazwani Norazaman yang berusia 20 tahun hanya tersenyum ketika ditemu bual MalaysiaNow, walaupun mempunyai saiz badan yang kecil, gadis itu tidak menjadikannya penghalang untuk melakukan kerja berat seperti mengangkat buah sawit yang dianggarkan seberat separuh berat badannya sendiri.

Syazwani berkata, dia mula bekerja di kebun ladang sawit milik datuknya sejak berusia 15 tahun selepas berhenti sekolah dan berpindah ke Felda Pasoh Empat di Jelebu, Negeri Sembilan kira-kira enam tahun lalu.

“Buat kerja di ladang sawit tidaklah begitu sukar apabila sudah tahu cara untuk melakukannya dengan betul. Bagi saya ini bukanlah sekadar kerja tetapi lebih kepada meluangkan masa bersama keluarga sambil menjana pendapatan,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow.

“Saya bersama atuk serta beberapa sepupu dan bapa saudara akan datang ke kebun ladang sawit atuk untuk menuai hasil dua kali dalam sebulan.”

Separuh daripada tenaganya digunakan untuk memetik dan memungut buah kelapa sawit yang dikait, berat buah yang mampu diangkat oleh Syazwani sekitar 40kg dengan menggunakan cop besi di Felda Pasoh Empat, Jelebu.

Menurut Syazwani, keluarganya juga sering meluangkan masa di kawasan kebun datuknya yang terletak kira-kira enam kilometer dari rumahnya dan mereka mempunyai pondok besar yang dibina dua tahun lalu untuk tidur dan hanya keluar dari kawasan ladang sekiranya ingin membasuh baju atau membeli barangan keperluan.

Selain bekerja di kebun datuknya yang dianggarkan seluas 10 ekar itu, Syazwani bersama bapa saudaranya juga mengutip upah dengan menuai hasil kebun milik penduduk tanah rancangan Felda berkenaan.

Bapa tirinya, Khairul Muhamad Senawi, 43, berkata selain dari menuai hasil kebun sawit, Syazwani juga disifatkan sebagai seorang yang serba boleh apabila mempunyai kemahiran lain yang menakjubkan.

Selepas pulang dari bekerja ladang, wani bersama dua bapa saudaranya, Amiruddin Masran dan Khairul Fahmi Masran duduk berehat di bahagian lori, manakala tangki dibelakang mereka merupakan sumber air bersih yang digunakan di pondok tinggal mereka di Felda Pasoh Empat, Jelebu.

“Dia juga sering membantu saya bertukang apabila mendapat kerja membaiki rumah penduduk di kawasan ini. Antara tanggungjawabnya adalah membancuh simen dan dia memang pandai membuat kerja itu.

“Selain itu, dia juga berkemahiran menebar roti canai ketika ibunya memiliki kedai makan. Ia kini ditutup sementara waktu susulan penularan Covid-19,” katanya kepada MalaysiaNow.

Tular di media sosial

Kebolehan Syazawni bekerja di ladang kelapa sawit turut menarik perhatian ramai apabila gambarnya tular di laman media sosial seperti Facebook dan Twitter.

Malah, kemahirannya juga berjaya menarik perhatian Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang baru-baru ini menawarkan pekerjaan kepadanya untuk bekerja di bahagian mekanisasi ladang sawit.

Nor Syazwani Norazman bersama hasil kelapa sawit yang dikutip di Felda Pasoh Empat, Jelebu.

Menurut Syazawni yang merupakan generasi ketiga Felda, dia kini dalam proses perbincangan bersama pihak MPOB dan dijangka akan mula bekerja pada Februari tahun depan.

Datuknya, Masran Hassan, 67, yang merupakan peneroka felda generasi pertama, berkata sangat bangga dengan kemahiran cucunya itu dan tidak akan memaksa Syazwani untuk kekal di situ sekiranya mendapat tawaran pekerjaan yang lebih baik di tempat lain.

“Saya tidak nafikan bahawa saya ingin dia terus berada di sini dan warisi kerja saya.

“Bagaimanapun, saya tidak akan kongkong hidup dia. Jika ada tawaran yang lebih baik, maka saya galakkan dia pergi demi kebaikan masa depannya,” katanya.