- Iklan -
Berita

Mahkamah Rayuan tolak permohonan Rosmah tangguh bicara kes rasuah

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu perlu memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi esok.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan Rosmah Mansor untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuahnya esok yang membabitkan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak sementara menunggu pelupusan rayuan beliau dalam kes sama.

Panel tiga hakim diketuai Kamaludin Md Said, yang membuat keputusan itu sebulat suara, berkata mahkamah berpendapat prosiding di Mahkamah Tinggi perlu diteruskan.

Susulan keputusan tersebut, isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu perlu memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi esok.

Bagaimanapun, Kamaludin berkata Rosmah masih boleh meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan beliau untuk membatalkan perbicaraan kes itu dan menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama.

Beliau berkata keputusan itu tidak akan memprejudis Rosmah dan berharap tarikh pendengaran rayuan tersebut boleh dipercepat.

Turut bersidang Nordin Hassan dan Hashim Hamzah.

Rosmah telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 18 Februari lepas untuk membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

Beliau memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi pada 6 Mei lepas bagi membatalkan keseluruhan perbicaraannya dalam usaha untuk dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan serta menggugurkan Sri Ram.

Rosmah berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsuddin melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor.

Wang itu didakwa sebagai upah bagi membantu Jepak Holdings mendapat projek bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus daripada kementerian pendidikan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur antara bulan Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima RM1.5 juta daripada Saidi bagi tujuan sama di kediaman beliau di Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.

Beliau juga berdepan pertuduhan menerima RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama pada 20 Dis 2016 di Seri Perdana, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Rosmah telah memfailkan permohonan baharu untuk penangguhan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohohannya berhubung perkara itu.

Terdahulu, pada prosiding yang dikendalikan secara dalam talian, peguam utama Rosmah iaitu Datuk Jagjit Singh berhujah bahawa penangguhan hendaklah dibenarkan kerana keadaan kes yang luar biasa.

Bagaimanapun, Sri Ram berhujah fakta prosiding itu mungkin dibatalkan bukanlah keadaan luar biasa yang membolehkan kes itu ditangguhkan.

Sementara itu, seorang lagi peguam Rosmah iaitu Akberdin Abdul Kader ketika dihubungi berkata pihaknya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan hari ini.