Puluhan pemimpin negara dan kerajaan, termasuk dari Jordan, Azerbaijan, Kenya dan Czech menggunakan akaun luar pesisir bagi menyembunyikan wang dan pelaburan bernilai ratusan juta dolar, menurut siasatan International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ).
Laporan siasatan dinamakan “Pandora Papers” tersebut melibatkan 600 wartawan dari beberapa media termasuk The Washington Post, BBC dan The Guardian.
Laporan itu juga didedahkan menerusi hampir 12 juta fail yang dimiliki 14 firma kewangan di serata dunia.
Sejumlah 35 pemimpin dan bekas pemimpin negara turut dimuatkan dalam laporan terbaru itu, dokumen-dokumen yang dianalisis ICIJ tersebut mendapati, mereka adalah pemimpin yang dikaitkan dengan pertuduhan rasuah, pengubahan wang dan pengelakan cukai.
Bagaimanapun, bagi kebanyakan negara, ICIJ berkata menyimpan aset di luar pesisir atau menggunakan syarikat proksi untuk menjalankan perniagaan di luar sempadan negara mereka bukan merupakan satu perkara yang menyalahi undang-undang.
Antara nama yang disebut dalam laporan tersebut adalah ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan kaitannya dengan sebuah firma undang-undang Amerika global yang dilaporkan diguna untuk membina jaringan syarikat di Malaysia dan Hong Kong.
Pihak berkuasa Amerika mendakwa syarikat tersebut digunakan untuk menyalurkan wang yang diseleweng daripada 1MDB.
Antara nama individu didedahkan mempunyai akaun luar pesisir sulit adalah Raja Jordan Raja Abdullah II, bekas perdana menteri United Kingdom Tony Blair, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dan Presiden Russia Vladimir Putin.